27 Julai 2010

Anuar Shaari tidak gentar dengan ugutan

UM - 27/07/10

KUALA LUMPUR 26 Julai - "Saya langsung tidak gentar, berani kerana benar dan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan yang dibuat."

Itu penegasan Anuar Shaari berhubung ugutan peguam penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, Manjeet Singh Dhillon terhadapnya dan bekas rakan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakarupan.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Anwar berkata, semua rakyat negara ini dijamin hak mereka di sisi Perlembagaan termasuk hak bersuara yang sudah pasti tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang.

Katanya, ia termasuk Anwar dan mana-mana pengamal undang-undang yang diyakini lebih tahu kesan dan akibat daripada perbuatan dan percakapan mereka.

"Saya menegaskan bahawa tidak gentar sama sekali dengan ugutan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menangani isu ugutan ini.

"Ini kerana saya berkeyakinan penuh terhadap sistem keselamatan dan keadilan negara memberi keadilan kepada rakyatnya.

"Saya akan tetap kekal berada di dalam negara, tidak akan lari ke luar negara atau berlindung di mana-mana kedutaan asing walaupun mendapat ugutan bunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan polis yang dibuat Nallakarupan kelmarin di Balai Polis Brickfields berhubung ugutan Manjeet 'yang mahu memotong kepalanya dan berjalan di jalan raya'.

Anuar menambah, beliau juga akan bertanggungjawab penuh dengan kenyataan terdahulu yang meminta Manjeet dan dua lagi peguam Balasubramaniam, Amarjit dan Americk Singh membuat penjelasan tentang hubungan mereka dengan Ketua Pembangkang itu.

"Saya amat hairan dengan sikap Manjeet yang beria-ria tidak mahu dikaitkan dengan Anwar. Apakah kerana beliau takut dengan pendedahan ini, masyarakat Malaysia akan dapat melihat kaitan Anwar dengan Raja Petra Kamaruddin (pengendali portal Malaysia Today) dan Balasubramaniam.

"Jika ini dapat dikaitkan, maka akan terbongkarlah siapa penaja sebenar Raja Petra dan penyiasat persendirian itu di luar negara," katanya.

Bagaimanapun, tegas Anuar, penafian Manjeet itu sudah terlambat kerana rakyat negara ini sudah matang menilai dan melihat kaitan antara Anwar, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Raja Petra serta Balasubramaniam dalam misi mereka memburukkan nama Malaysia di luar negara.

"Episod ugut ini juga mendedahkan bahawa 'Harapan Baru Buat Malaysia' anjuran Anwar itu ialah politik ugut dan saman serta politik bermuka-muka.

"Ini kerana di sebalik kempen Anwar untuk kebebasan bersuara, beliau menggunakan cara yang amat tidak beretika untuk menutup mulut mereka yang membicarakan segala kepincangannya," katanya yang akan terus bersuara demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: