27 Julai 2010

Nalla anggap Manjeet 'lalang'

UM - 27/07/10

KUALA LUMPUR 26 Julai - "Dahulu dia yang marah-marah Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sekarang bersungguh-sungguh pula menyokongnya."

Sikap peguam penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, Manjeet Singh Dhillon tersebut dianggap oleh bekas rakan karib Ketua Pembangkang itu, Datuk S. Nallakarupan 'tidak ubah seperti lalang'.

Nallakarupan mengimbau pada 1998 semasa beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana mempertahankan perjuangan Anwar, Manjeet yang juga rakan baiknya meminta beliau mendedahkan segala keburukan Anwar.

"Itulah yang saya hairan kerana beliau (Manjeet) tidak tetap pendirian seperti lalang, saya memang kawan baik dia dan amat menghormatinya tetapi amat kecewa dengan pendiriannya yang berubah sekarang.

"Malah beliau semasa cuba memujuk saya untuk berbaik-baik semula dengan Anwar, berkali-kali menabur janji manis bahawa boleh minta apa sahaja yang terlintas di hati pasti akan ditunaikan oleh Anwar kerana Ketua Pembangkang itu akan menjadi Perdana Menteri.

"Saya yang telah kenal hati budi Anwar berbanding orang lain, tidak membuka mulut atau cuba-cuba meminta sesuatu kerana cukup arif siapa beliau sebenarnya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Nallakarupan berkata demikian ketika diminta mengesahkan pengakuan Manjeet bahawa beliau pernah cuba menghubungkannya semula dengan Anwar.

Manjeet seperti yang dilaporkan oleh portal berita propembangkang Malaysiakini kelmarin menegaskan, 'percubaannya' itu hanyalah sebagai usaha menghubungkan 'dua kawan yang bergaduh untuk berbaik semula'.

Nallakarupan pada 5 Jun lalu pernah mendedahkan kepada Utusan Malaysia bahawa pujukan Manjeet bermula selepas pakatan pembangkang menang besar pada pilihan raya umum 2008.

Dakwanya, pujukan itu semakin kuat menjelang 'pelan pembentukan kerajaan Pusat' oleh Anwar melalui kaedah lompat parti pada 16 September 2008.

Menceritakan lebih lanjut, Nallakarupan berkata, beliau tidak menyahut pujukan itu sebaliknya bertanya pula apakah habuan besar yang bakal diperoleh Manjeet sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Adakah awak akan dilantik menjadi Peguam Negara tetapi beliau menjawab, jangan risau mengenainya kerana pasti akan ada sesuatu," katanya.

Tegas Nallakarupan, beliau amat anti kepada sesiapa sahaja yang tidak tetap pendirian dan berubah sekelip mata hanya kerana kepentingan peribadi.

Tegasnya, beliau tetap dengan pendiriannya dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan serta tidak akan sesekali melarikan diri ke luar negara seperti dilakukan oleh segelintir pihak di negara ini.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: