26 Julai 2010

Hassan Ali didesak berundur

UM - 26/07/2010

PETALING JAYA 25 Julai – Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad perlu menggesa Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali meletak jawatan sekiranya benar beliau menganggap sesiapa yang menemui Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu perpaduan orang Melayu, sebagai golongan yang tidak faham prinsip dan perjuangan parti.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Khalid itu sebagai sesuatu yang berat kerana ia keluar daripada mulut seorang Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik Pas.

“Kalau sudah tidak faham perjuangan, Hassan Ali patut didesak meletak jawatan. Beliau juga perlu jawab tuduhan itu kerana ia tuduhan berat yang datang dari Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik Pas Pusat.

“Rakyat mahu tahu apa pendirian beliau tentang perkara ini. Rakyat juga mahu tahu apa pendirian Pas Pusat tentang perpaduan demi faedah orang Melayu.

“Jangan mereka cuba mengacah-acah UMNO dalam perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Gotong Royong Perdana dan Kenduri Rakyat 1 Malaysia di sini Taman Desa Ria Fasa 5A dan 5B di sini hari ini.

Kelmarin, Khalid menyifatkan pemimpin yang terlibat dalam pertemuan dengan Harussani tidak memahami perjuang Pas kerana melanggar keputusan parti yang dibuat ketika muktamar Pas sebelum ini iaitu parti tersebut akan terus bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Khalid mendakwa, meskipun Pas dan UMNO datang dari bangsa yang sama iaitu Melayu dan Islam sebagai pegangan mereka, kerjasama itu tidak boleh dilaksanakan kerana kedua-dua parti mempunyai matlamat yang berbeza.

Khairy menambah, masalah yang berlaku dalam Pas hari ini adalah ahli parti itu terbahagi kepada dua iaitu sebelah pihak mahukan perpaduan dengan UMNO dan sebelah lagi berharapkan perpaduan itu tidak berlaku.

“Dalam parti itu ada yang hendak dan ada yang tidak. Bagi UMNO, sekiranya berlaku perpaduan, kita ucapkan Alhamdulillah demi kebaikan Melayu dan Islam tetapi jika mereka tidak mahu, kita tidak ada sebarang masalah.

“UMNO tidak ‘hadap’ (terlalu berharap) sangat benda ini sebab kita kuat. Kita boleh menang tanpa Pas dan buktinya, kita sudah berpuluh-puluh tahun memerintah tanpa mereka. Kalau mereka tidak mahu, jangan cakap tentang hal ini lagi,” ujarnya.

Khairy turut mengulangi cabarannya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberi penjelasan berhubung dakwaan bahawa Yayasan Masa Hadapan (Foundation for the Future - FFF) pimpinan Anwar suatu ketika dahulu, pernah menerima dana RM68.21 juta (AS$21.3 juta) daripada Jabatan Negara AS.

Dakwaan itu dimuatkan dalam laporan Projek Kebertanggungjawaban Kerajaan (Government Accountability Project-GAP) Amerika.

“Sehingga kini Anwar masih berdiam diri mengenainya. Saya mencabarnya pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat. Jadi mungkin beliau fikir tidak perlu jawab kerana persidangan sudah tamat.

“Tetapi saya mahu ingatkan bahawa rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan kenapa beliau nafikan tidak menerima wang itu sebelum ini,” katanya.

Pada 20 Mei 2007, Anwar pernah membuat kenyataan mendakwa FFF hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom serta Jordan dan bukannya Amerika Syarikat.

Laporan GAP berkenaan FFF menyebut bahawa pengurusan yayasan itu termasuk bekas Pengerusi FFF (dan kawan rapat Paul Wolfowitz) Anwar Ibrahim, telah mengelirukan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS (US Internal Revenue Service) berhubung penerimaan dana itu.

“Begitulah hebatnya Anwar Ibrahim. Sampaikan lembaga hasil Amerika Syarikat yang bertaraf antarabangsa pun ditipunya,” tempelak Khairy ketika menghuraikan perkara itu dalam ucapannya sewaktu merasmikan program tersebut di hadapan kira-kira 350 hadirin.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: