26 Julai 2010

Usaha pulih hubungan Anwar-Nalla

UM - 26/07/2010

KUALA LUMPUR 25 Julai – Peguam penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, Manjeet Singh Dhillon mengakui beliau pernah cuba menghubungkan semula Datuk S. Nallakarupan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manjeet seperti yang dilaporkan oleh portal berita propembangkang Malaysiakini semalam menegaskan, ‘percubaannya’ itu hanyalah sebagai usaha menghubungkan ‘dua kawan yang bergaduh untuk berbaik semula’.

Laporan Malaysiakini bertajuk ‘Dakwaan dibiayai Anwar: Peguam PI Bala minta bukti’ itu menyebut, Manjeet turut menafikan dakwaan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari bahawa beliau (Manjeet) berkali-kali menawarkan Nallakarupan menyertai semula Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya cuba menghubungkan dua kawan yang bergaduh ketika itu untuk berbaik semula. Persahabatan Anwar dan Nallakaruppan menjangkaui parti politik.

“Jika dua kawan bergaduh, adakah salah untuk cuba merapatkan mereka semula?” soalnya.

Laporan portal propembangkang Malaysiakini itu memetik sidang akhbar Manjeet di sebuah hotel di sini yang diadakan bagi menafikan dakwaan bahawa yuran perundangan peguam yang mewakili penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dibiayai oleh Anwar.

Laporan itu turut menyebut peguam-peguam yang mewakili Balasubramaniam berang apabila didakwa yuran perundangan mereka dibiayai oleh Anwar.

Sebaliknya mereka mencabar Anuar tampil memberikan bukti.

Pada pukul 12.35 tengah hari semalam, Nallakarupan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kerana mendakwa Manjeet mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadapnya dan Anuar.

Kata Nallakarupan, beliau menerima panggilan telefon daripada peguam itu pada pukul 8.22 malam kelmarin yang memaki-hamun dan memarahinya ekoran laporan media mengenai pujukan tersebut.

Nallakarupan pada 5 Jun lalu pernah mendedahkan kepada Utusan Malaysia bahawa pujukan Manjeet bermula selepas pakatan pembangkang menang besar pada pilihan raya umum 2008.

Dakwanya, pujukan itu semakin kuat menjelang ‘pelan pembentukan kerajaan Pusat’ oleh Anwar melalui kaedah lompat parti pada 16 September 2008.

“Manjeet suruh jumpa Anwar, kononnya dia akan jadi Perdana Menteri. Banyak kali dia pujuk saya sama ada melalui telefon atau secara bersemuka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika itu.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: