26 Julai 2010

Kerjasama Pas, UMNO

UM - 26/07/2010

KUALA LUMPUR 25 Julai - Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Sanusi Junid optimis bahawa titik persefahaman dan persamaan antara Pas dan UMNO untuk mewujudkan kerjasama demi kepentingan Islam dan Melayu masih terbuka luas.

Bagaimanapun tokoh veteran UMNO itu menegaskan, ia bergantung kepada dua syarat utama yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak iaitu wajib menghentikan terus sebarang perkataan kesat yang mengata sesama sendiri dan kerjasama itu perlu disandarkan kepada nilai-nilai Islam.

"Tidak mustahil kerjasama kali kedua ini akan berjaya tetapi dengan syarat jangan ada lagi perkataan kesat kerana ia membawa implikasi 'malu mata'.

"Orang Melayu ini kerana malu dia sanggup membuat pertimbangan di luar kewarasan normal.

"Selain itu, ia juga mesti diasaskan kepada nilai-nilai Islam kerana semasa Pas menyertai Barisan Nasional (BN) dahulu tiada perhitungan di mana kedudukan Islam, hanya kerana survival Melayu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) peringkat seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Sanusi diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak sama sekali hasrat Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan supaya UMNO dan parti itu segera menamatkan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, sebenarnya di kalangan ahli Pas sendiri terdapat tiga kategori pendapat atau kumpulan mengenai pelan damai tersebut iaitu:

  • Kumpulan muda yang tidak terlibat sewaktu Pas pernah berada dalam BN dahulu. Mereka ini yang disifatkan sebagai pemikirannya masih tidak tercemar amat mementingkan kepentingan Melayu.
  • Kumpulan lama yang berpengalaman semasa Pas bersatu dengan BN. Walaupun pada masa itu hanya sekadar ahli bawahan sahaja, mereka ini mungkin masih terkilan dengan keadaan yang berlaku pada waktu kerjasama itu.
  • Penyokong pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada dalam Pas. Mereka ini sebenarnya sedang menunggu isyarat daripada pimpinan parti itu dan bukannya daripada Pas.
  • /hwa: utusan.com.my

    Tiada ulasan: