30 Ogos 2010

Pemimpin bertelagah menyimpang prinsip Islam – Raja Nazrin

Bernama - 30/08/2010 5:54pm

IPOH 30 Ogos – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, pemimpin Islam yang memilih untuk bertelagah dan bersaing mencari pengaruh, sehingga tergamak melakukan perkara-perkara ekstrem yang mencemar agama dan maruah ummah, sebagai golongan yang telah menyimpang dari prinsip asas Islam.

Ini kerana prinsip asas Islam sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah, titah baginda sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) peringkat negeri serta sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) di sini hari ini.

Menurut baginda, penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di dunia terutama contoh-contoh ketara di Palestin, Afghanistan dan Iraq, bermula dari pemesongan yang berlaku di kalangan pemimpin hingga mereka sendiri membuka laluan yang membolehkan bukan Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.

"Pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar.

"Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam,” titah baginda.

"Umat Islam di negara ini kini berada dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca, bagaikan bersedia berpaut kepada apa sahaja yang dapat dicapai untuk terus timbul dalam arus yang mungkin membawa mereka menuju kepada penghujung yang amat membimbangkan,” titah baginda.

Umat Islam wajib mengambil pengajaran sebelum nasi menjadi bubur, tegas baginda.

"Ingatlah! Sedarilah! Insaflah! ketika umat Islam jatuh dan menjadi lemah, janganlah diharap ada pihak yang akan bersimpati untuk membela nasib mereka.

“Masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan umat Islam. Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak yang boleh meruntuh atau menjatuhkannya.

Kejatuhan umat akan berlaku apabila umat memilih untuk tidak bersatu malah saban hari terus menghakiskan kekuatan di antara satu sama lain,” titah baginda.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: