30 Ogos 2010

Suntik kembali semangat Merdeka

UM(rencana) - 30/8/10

LELAKI yang berpengalaman luas berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri ini mengingati kembali detik manis tarikh 31 Ogos 1957.

Ketika itu dia yang baru menginjak 15 tahun berada di Kampung Jelebu, Negeri Sembilan sedang mengambil bahagian menyambut kemerdekaan di sekolah.

Pada malam tarikh itu, sebaik-baik sahaja berakhir majlis doa selamat, dilangsungkan pula acara larian merentas kampung. Setiap murid diwajibkan oleh guru untuk membawa bendera yang dilukis di atas kain dengan cara berlari dari satu kampung ke kampung sambil menyorakkan Merdeka! Merdeka!

"Memang pada masa itu yang kita tahu mengenai merdeka adalah bebas, tapi kita terasa ini kampung kita, jadi kita ambil bahagian. Demikian juga guru dan polis juga ambil bahagian.

''Saya terasa sangat sebab pada waktu itu kenduri-kendara juga diwujudkan di surau dan masjid. Ini semua terasa oleh rakyat tapi sekarang tidak ada lagi," kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengimbas pengalaman silam.

Begitu pun Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini yang ditemui Utusan Malaysia di Angkasapuri, Jumaat lalu tetap realistik.

Baginya, perayaan sambutan merdeka berbeza dari musim ke musim, dari satu pentadbiran ke satu pentadbiran.

''Kita tidak boleh simpulkan perayaan dan sambutan itu sebagai dalam satu kotak. Misalnya keghairahan untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 berbeza dengan kegembiraan untuk mewujudkan Malaysia pada 16 September 1963.

''Begitu juga perayaan selepasnya, apatah lagi sebahagian besar generasi Malaysia kita sekarang yang berumur 20-an, 30-an, 40-an, tidak kenal erti merdeka, lantaran itu mereka harus berbuat mengikut petak-petak dan acuan-acuan ini.

''Jadi, dengan keadaannya begitu kita harus realistik apa erti patriotisme dan tanggungjawab individu kepada masyarakat dan negaranya," kata beliau.

Dalam hal ini Rais percaya keghairahan menyambut Hari Kemerdekaan harus dijelmakan oleh sistem pendidikan. Tidak cukup dengan TV1, TV2, Astro atau TV3. Ia merupakan suatu penyaluran pemikiran yang perlu dilaksanakan segera.

''Jika tidak, saya berani menyatakan apabila generasi seperti kami termasuk Perdana Menteri telah tiada dalam arena, saya bimbang soal kemalaysianan, soal kejituan erti merdeka dan erti Malaysia mungkin sekadar 'dipatah-patahkan saja' oleh anak-anak muda kita dan mereka yang mendatang.

''Tambahan pula, sistem politik kita sedemikian rupa yang mana mereka yang berada dalam kancah politik pembangkang tidak kisah sangat tentang patritiotisme dan sentiasa mengecil kecilkan apa yang kita perjuangkan," kata beliau.

Bagaimanapun, Rais mengingatkan semua pihak agar jangan cepat putus asa. Ini kerana dalam masa 10 tahun akan datang, sementara kerajaan membina Gasasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, semua lapisan rakyat harus memancang dan menentukan pagar-pagar kepentingan patriotisme. Ertinya, menerusi pendidikan dan sistem penguatkuasaan perundangan negara.

Ketiga-tiga itu mesti dipancang dan ditentukan dengan jelas. Dengan lain perkataan, Jalur Gemilang mesti dikibarkan di semua sekolah, jabatan dan badan-badan bukan kerajaan serta premis perniagaan.

''Dimestikan itu bererti ia ditanam di dalam sistem tersebut, tidak semestinya dengan penguatkuasaan undang-undang. Kalau kita paksa orang untuk berpatriotik, maka mereka akan terasa dalam hati.

''Kalau difikir-fikirkan, sengaja Jawatankuasa Induk Perayaan Merdeka nak uji setakat mana bendera tahun lalu disimpan oleh orang untuk dikibar. Tampaknya tidak banyak, bendera itu sudah lapuk dan tidak lagi diganti. Justeru, kita tidak dapat teruskan.

"Namun seharusnya bendera tahun lalu itu boleh dilipat dan sekarang dikibarkan semula," kata beliau.

Rais menarik perhatian bagaimana kedudukan mata pelajaran Sejarah di sekolah boleh memainkan peranan teramat penting dalam menaikkan semangat patriotisme dan penghayatannya di kalangan generasi muda sekarang.

''Mungkin tidak patut saya kata begitu, tapi soalnya kedudukan mata pelajaran Sejarah dalam sekolah kita begitu remeh. Ini kerana kita tidak menginduksikan sejarah untuk kepentingan negara," kata beliau.

Justeru bagaimana caranya untuk menarik penglibatan murid dalam pembelajaran subjek Sejarah yang lebih berkesan? Bagi Rais, teknik ini boleh dilakukan.

''Mungkin kita boleh pamerkan gambar Perdana Menteri terdahulu. Dan dikenalkan siapa musuh negara kita, siapa Chin Peng (setiausaha agung Parti Komunis Malaya).

''Isu tidak kenal siapa pejuang negara dan musuh negara terjadi kerana kita terlalu tumpukan kepada pendidikan yang dibawa dari barat sehingga lupa siapa kita ini," kata beliau.

Dalam soal ini, menteri paling kanan itu menyuarakan rasa khuatirnya dengan trend baru anak muda negara dalam tempoh terdekat.

''Beribu-ribu murid yang dahulu belajar di sekolah rendah dan menengah Malaysia sekarang sudah pulang dari seberang laut dengan dalam pemikiran mereka sama ada politik ultra dari Mesir atau politik liberal Amerika dan United Kingdom.

''Tetapi yang pulang dari Jepun dan Korea hasil daripada Dasar Pandang Ke Timur berbeza lebih, hasil daripada mereka yang datang daripada tempat-tempat tertentu dari Barat dan membawa politik leftis dari Mesir untuk pulang ke tanah air," katanya.

Sambung Rais: ''Saya risau dalam keadaan ini suatu hari akan meletus sebagai bisul yang tak dapat diubat.

''Tapi masa masih ada di tangan kita untuk mengubah sedikit sebanyak bagi jangkauan 20 tahun akan datang."

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: