31 Ogos 2010

Pertahankan perpaduan nasional tonggak kestabilan negara

UM(rencana) 31/8/10

HARI ini genap 53 tahun negara kita, Malaysia mencapai kemerdekaan. Dalam tempoh lebih lima dekad inilah, semua rakyat berbilang kaum sama-sama mencurahkan keringat dan bakti untuk membangunkan negara ini.

Dalam fasa pertama 50 tahun, boleh dikatakan kita berjaya mengharungi dugaan dan cabaran untuk menikmati kesejahteraan hidup di negara yang merdeka.

Tetapi kenapa dalam memasuki fasa kedua 50 tahun, perpaduan kaum yang berjaya kita bina tiba-tiba mahu dipisah-pisahkan dan diasak dengan pelbagai tuntutan yang berbaur kepentingan politik.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kita hari ini, elok kita renungi kembali jerih perih pejuang menuntut kemerdekaan. Mereka juga terdiri daripada pelbagai kaum. Hayati semangat mereka untuk memakmurkan rakyat dan negara ini.

Bukan dahulu tiada berlaku perselisihan faham antara kaum, tetapi keadaannya tidak melampau seperti dibangkitkan sesetengah pihak sekarang.

Kalau ibu bapa dan datuk nenek semua kaum dahulu dapat menghormati dan bertolak ansur dalam membina kehidupan di Malaysia, kenapa generasi sekarang tidak dapat bersikap sedemikian.

Membaca perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 ini, jadikanlah hari ini titik permulaan untuk semua kaum mengikis sikap melampau yang terjelma melalui isu perkauman dan agama.

Sebagaimana seruan dan peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa apa yang kita bina dan capai hari ini boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada.

Formula kejayaan dan kestabilan negara kita sejak lebih lima dekad lalu ialah perpaduan kaum. Hanya dengan 'resipi' ini dijangka kita dapat terus mencapai matlamat masa depan yang lebih baik.

Semua kaum dan rakyat Malaysia kena pertahankan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan negara kita selama ini.

Ingatlah, sesuatu perubahan yang ingin kita kecapi belum tentu membawa kebaikan, sebaliknya mungkin mendatangkan masalah lebih teruk.

Perhatikan negara-negara yang terlebih dahulu merdeka daripada kita, akibat perasaan prasangka dan permusuhan terhadap kaum lain, negara mereka tidak aman. Tahap kehidupan majoriti rakyatnya pun tidak begitu baik.

Di Malaysia, keunikan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kaum, bahasa dan agama tetapi hidup dalam aman menjadi model yang mahu dicontohi oleh masyarakat di negara lain.

Oleh itu, jangan kerana tamak kuasa, asas-asas integrasi rakyat Malaysia yang bersandarkan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial negara mahu diganggu gugat dan diubah suai.

Ingatlah jika tiang seri negara ini yang menjadi kekuatan negara kita selama lebih 53 tahun, mengapa ia perlu diganti dengan yang baru yang belum tentu terjamin kestabilannya.

Elok kita hayati pesanan Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: