19 September 2010

Apa pengajaran?

MM - 19/9/10

KES pembunuhan kejam ke atas jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, menjadi isu paling menggemparkan. Awang melihat apa yang berlaku itu sebagai jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan sentimen perkauman. Namun Awang berharap semua pihak perlu mengambil pengajaran terutama dalam menangani isu gangsterisme di kalangan orang India.

Kebimbangan mengenai gejala itu bukan baru tetapi tiada kesungguhan diambil. Awang masih ingat dua dekad lalu, para pemimpin kaum India selalu bersuara menentang gangsterisme termasuk dalam Perhimpunan Agung MIC. Lama kelamaan komitmen itu lenyap. Malah sebahagian pemimpin kaum India mengambil pendirian menyokong kumpulan pelampau seperti Hindraf, yang tindak-tanduknya berbahaya. Awang juga amat berharap pihak berkuasa dapat melakukan operasi besar-besaran untuk melumpuhkan gejala itu. Polis pernah berjaya berbuat demikian terhadap banyak kumpulan kongsi gelap Cina pada dekad 80-an dan di Sarawak beberapa tahun lalu.

Jika kita masih mahu mengambil mudah, Awang tidak terkejut seandainya pengaruh gangsterisme akan lebih dahsyat termasuk ke atas parti politik. Majlis Peguam juga harus membuka mata. Dua ahlinya yang terlibat dalam pembunuhan tersebut mempunyai rekod buruk termasuk menipu gelaran Datuk dan pernah digantung. Apa pengajarannya? Awang berharap Majlis Peguam dapat menumpukan perhatian penuh kepada hal ehwal ahli terutama memantau tata laku para peguam secara lebih berkesan.

Janganlah terlalu banyak berpolitik dan kelihatan mengambil sikap rasis dalam pendekatannya. Contohilah badan-badan profesional yang lain seperti doktor, jurutera, arkitek dan akauntan yang terbukti sangat komited dalam menjaga imej dan profesionalisme. Dengan kata lain, imej Majlis Peguam juga mesti dibersihkan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: