Bernama - 27/09/2010 5:39pm
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar mendakwa ini kerana Anwar sudah pun mempunyai calonnya sendiri bagi memudahkannya melaksanakan apa yang diagendakan.
"Calon yang bertanding bukan restu penasihat (Anwar) hanya boneka. Dia hanya nak menghalalkan cara sahaja, menghalalkan demokrasi dengan cara menipu ahli-ahli dia tetapi sebenarnya dia dah tentukan dah siapa yang mereka nak.
"Hari ini, saya tengok ahli-ahli PKR pun dah nampak dan dah sedar bahawa mereka selama ini diperkudakan oleh pimpinan mereka yang bercita-cita tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekecohan yang berlaku dalam beberapa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR di Selangor antaranya di Subang, Kapar, Klang dan Petaling Jaya Selatan.
Akhbar hari ini melaporkan bahawa kekecohan yang berlaku semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR di seluruh negara didakwa berpunca daripada calon-calon yang mendapat restu Anwar dan Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali, tetapi tidak dipilih oleh anggota parti.
Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, turut mendakwa PKR bakal menjadi sebuah parti "anak-beranak" sekiranya anak sulung kepada Anwar dan Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, menang sebagai Naib Presiden dalam pemilihan parti November depan.
"Jarang kita jumpa parti (di mana) penasihat dia bapa, presidennya mak dan naib presidennya anak," katanya.
Beliau juga mendakwa tindakan Nurul Izzah, yang sebelum ini dilaporkan memberi sokongan secara terbuka kepada Datuk Zaid Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, adalah wayang semata-mata.
"Jadi, bila dia (Nurul Izzah) boleh meyakinkan ahli-ahli bahawa dia mempunyai pendirian sendiri, berlainan pandangan daripada bapa dia (Anwar).Kalau dia menang, dia boleh kata bukan kerana mak dia atau bapa dia tapi kerana kebolehan dia sendiri.
"Ini hanya strategi nak memenangkan anak dia dan inilah strategi yang dibuat. Tetapi strategi ini orang nampak, itu yang banyak bergaduh di (peringkat) bawah. Strategi ini hanya nak memenangkan kroni-kroni dia. Jadi bila kroni dia menang, mudah dia melaksanakan apa yang dihajati," katanya.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa apa yang diamalkan oleh PKR dalam pentadbiran partinya bukannya berasaskan demokrasi sebaliknya autokrasi. - Bernama
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan