27 September 2010

Kekecohan dalam pemilihan PKR telah dijangka - Shafie

Bernama - 27/09/2010 5:58pm

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kekecohan yang berlaku pada pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kapar, Klang dan Kuala Lumpur semalam telah dijangka, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, rakyat boleh lihat sendiri kepincangan yang berlaku dalam PKR dan laporan berita di akhbar hari ini yang jelas mengambarkan keadaan sebenar parti tersebut.

"PKR mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) macam-macam seperti mengamalkan sistem pengundian tidak adil, melakukan penipuan, mengamalkan budaya kronisme, itu lah...ini lah, sekarang lihat apa yang berlaku kepada PKR, wujudnya ugutan antara anggota parti dan macam macam lagi,” katanya.

"Kalau kekecohan boleh berlaku dalam pemilihan parti, bayangkan apa yang boleh berlaku apabila PKR membentuk kerajaan? PKR boleh melakukan perkara-perkara yang ekstrem semata-mata untuk berkuasa membentuk kerajaan,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa pemilihan cabang PKR di Kapar dan Klang semalam kecoh apabila berlaku kejadian tumbuk menumbuk, kerusi dibaling dan kertas undi dibuang di atas jalan raya apabila perwakilan tidak puas hati dengan cara pemilihan itu dijalankan.

Selain itu, pada pemilihan PKR Cabang Lembah Pantai yang dihadiri Anggota Parlimen kawasan itu, Nurul Izzah Anwar, turut berlaku kekecohan selepas berlaku pertengkaran membabitkan dua kumpulan kerana dilaporkan wujud penipuan dalam pemilihan apabila jumlah kertas undi yang dikeluarkan melebihi jumlah pengundi berdaftar.

Sementara itu, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kerajaan tidak menggunakan wang hasil daripada cukai minuman keras dan perjudian untuk disalurkan kepada golongan miskin dan warga emas beragama Islam kerana ia adalah sumber haram.

Katanya, kerajaan turut mendapat pendapatan menerusi hasil daripada cukai minuman keras dan perjudian bagaimanapun hasil pendapatan itu tidak digunakan untuk bantuan kepada orang Islam kerana ia adalah haram daripada sudut agama Islam.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: