24 September 2010

Jangan terpengaruh dakyah terbaru pembangkang

UM - 24/9/10

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Jangan terpengaruh dengan dakyah terbaru pembangkang memburuk-burukkan kerajaan melalui pengedaran cakera padat (CD) termasuk memuat naik bahan itu ke dalam laman web youtube.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, CD bertajuk Malaysian4Change itu antaranya mengandungi pelbagai dakwaan mengatakan kerajaan bersikap tidak adil kepada rakyat negara ini.

“Mereka lakukan perkara sedemikian adalah untuk mengelirukan rakyat. Ibu Pejabat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang meneliti kandungan CD tersebut dan akan memberi jawapan lengkap dengan berlandaskan fakta.

“Kita akan jawab tuduhan yang dibuat kerana apa yang terkandung dalam CD adalah perkara yang tidak benar malah tidak masuk akal seperti membandingkan pendapatan hari ini dengan masa lalu sedangkan realitinya zaman telah berubah,” katanya seperti dipetik daripada laman web www.umno-online.com di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, kehidupan sekarang dan lalu merupakan dua zaman berbeza dan kedua-duanya tidak boleh sama sekali disamakan kerana suasananya telah jauh berubah.

“Kerajaan BN adalah satu kerajaan yang terbuka iaitu mendengar suara hati rakyat kerana kita daripada rakyat, kerana rakyat untuk rakyat.

“Kata dikota janji dilaksana yang menjadi pegangan BN bukan hanya kata-kata dan kita berharap rakyat akan gunakan akal yang ada dalam menilai propaganda pembangkang berbanding dengan apa yang telah kita laksana sejak merdeka,” katanya.

Jelas Tengku Adnan, mereka yang memburuk-burukkan kerajaan ini telah lupa siapa diri mereka sebenar iaitu siapa yang memberikan pendidikan, pekerjaan dan kesenangan.

“Saya berani berkata bahawa tidak ada seorang pun di Malaysia ini yang boleh mengatakan bahawa UMNO tidak pernah berjasa kepada mereka.

“Tiap-tiap orang sama ada Melayu, Cina, India atau apa bangsa sekalipun BN yang dahulunya Perikatan telah memberi sumbangan dalam kehidupan mereka,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: