24 September 2010

Yahudi Rusia penghalang damai

AFP - 24/9/10

NEW YORK 23 Sept. – Pendatang Yahudi Rusia ke Israel merupakan antara batu penghalang utama dalam usaha mencapai perdamaian antara Israel dengan penduduk Palestin, kata bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton dalam ucapan yang mencetus reaksi kasar daripada pemimpin Israel, semalam.

Clinton ketika berucap pada persidangan Inisiatif Global Clinton Selasa lalu berkata, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) semakin ramai dianggotai ‘anak pendatang Rusia’, golongan yang paling menentang keras pengurangan kawasan Israel.

“Ia membawa kepada masalah besar. Ia adalah Israel yang berbeza kerana 16 peratus daripada penduduknya menggunakan bahasa Rusia,” kata beliau yang dipetik majalah Foreign Policy.

Menurut Clinton yang menjadi Presiden AS dari 1993 hingga 2001, pendatang Rusia adalah yang paling kurang berminat dengan perjanjian damai.

Katanya, mereka baru tiba di Israel dan mahu membina masa depan di sana tanpa dapat membayangkan sebarang unsur sejarah atau tuntutan lain yang membenarkan ia untuk dipecahkan.

Pada pandangan Clinton, penduduk Israel yang paling prokeamanan adalah mereka yang betul-betul lahir di negara Yahudi itu dan boleh mengesan susur galur keturunan selama seabad atau lebih.

“Mereka ini dapat membayangkan perkongsian masa depan kerana melihat sesuatu daripada konteks sejarah,” kata beliau.

Golongan kedua yang menyokong perjanjian damai adalah Yahudi yang berhijrah dari Eropah dan berada di Israel lebih daripada satu generasi.

Clinton menyifatkan Yahudi Afrika Utara yang memasuki Israel pada 1970-an sebagai ‘pengundi atas pagar’ yang memilih keamanan jika ia dapat dicapai dan memutuskan sebaliknya dengan memilih orang paling keras.

Semalam, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan keras menyatakan bahawa pemimpin rejim Zionis itu ‘berasa kesal’ dengan ulasan Clinton. – AFP

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: