24 September 2010

PM akan sampaikan ucapan sulung di UNGA

UM - 24/9/10

NEW YORK 23 Sept. – Tiga elemen utama sepanjang lawatan kerja enam hari Datuk Seri Najib Tun Razak ke sini – menyampaikan ucapan sulung pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA); menghadiri Sidang Kemuncak Kedua ASEAN-AS; dan siri perbincangan dua hala dengan sejumlah ketua kerajaan termasuk Palestin serta peneraju industri.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba pagi ini (malam waktu Malaysia).

Esok, Perdana Menteri akan bersama-sama para pemimpin negara anggota ASEAN yang lain bersemuka dengan Presiden Barack Obama bagi menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-AS di Hotel Waldorf-Astoria.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam taklimatnya kepada wartawan Malaysia di sini menyatakan, sidang kemuncak itu yang akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Vietnam, Nguyen Minh Treit selaku Pengerusi semasa ASEAN dan Obama, akan meneliti arah masa depan dalam usaha memperkukuhkan hubungan ASEAN-Amerika.

Bagi Amerika yang masih berusaha bebas sepenuhnya daripada kesan kemelesetan ekonomi, pentadbiran Obama melihat rantau ASEAN sebagai amat penting kerana ia merupakan pasaran eksport kelima terbesar di kalangan masyarakat perniagaan negara ini; tanpa mengetepikan tumpuan kepada pasaran India dan China yang rancak berkembang.

Pada masa yang sama, ASEAN sedang merancang untuk memperluaskan rakan dialog ASEAN+6 menjadi ASEAN+8 dengan memasukkan AS dan Rusia.

Sebelum sidang kemuncak tersebut, Najib dan Rosmah serta pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain akan diraikan pada satu majlis yang dihoskan oleh Obama dan Michelle Obama di American Museum of Natural History di sini.

Pada Isnin, Najib buat pertama kali atas kapasiti Perdana Menteri akan mengambil bahagian pada hari keempat berlangsungnya perbahasan umum UNGA dan dijangka akan menyentuh beberapa isu kritikal antarabangsa. Tema sesi tahun ini ialah Memperkukuhkan Peranan Utama PBB Dalam Tadbir Urus Global.

Perbahasan umum UNGA kali ini berakhir Rabu, 29 September. Pada UNGA tahun lalu, Perdana Menteri diwakili oleh Anifah.

Sejurus selepas menyampaikan ucapan beliau, Najib akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

Sementara itu, Anifah berkata, pada hari pertama di sini lagi, Najib akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang dilihat penting dalam melihat pandangan semasa Malaysia berhubung proses damai Asia Barat terutama di Palestin.

Semasa di sini juga, Perdana Menteri dijadual berbincang dengan Presiden baru Filipina, Benigno Aquino III; Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed; Presiden Kosovo, Dr. Fatmir Sejdiu; Perdana Menteri Slovenia, Borut Pahor; Perdana Menteri Croatia, Jadrnka Koso; dan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa.

Anifah berkata: “Banyak permintaan daripada para pemimpin dunia untuk bertemu dengan Najib di luar perhimpunan agung ini.

“Mereka ingin berkongsi pandangan dengan Perdana Menteri berhubung pendirian Malaysia berhubung isu-isu antarabangsa serta kemajuan ekonomi yang dicapai oleh Malaysia.”

Selain itu, Najib akan bertemu Wakil Khas AS ke Pakistan dan Afghanistan, Richard Holbrooke dan Presiden Majlis bagi Hubungan Luar, Richard Hass.

Perdana Menteri juga mengambil peluang semasa berada di sini untuk bertemu dengan peneraju industri bagi meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan.

Antara mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pertahanan dan Keselamatan Boeing, Dennis Muilenburg; CEO ACE Group, Evan Greenberg; Pengasas Wikipedia, Jimmy Wales; dan Pengarah Earth Institute, Columbia University, Profesor Jeffery Sachs.

Beliau juga dijadual melawat Bursa Saham New York pada Isnin dan menghadiri majlis penutupan urusniaga harian di bursa itu.

Seperti biasa, lawatan Perdana Menteri tidak akan melupakan penuntut dan masyarakat Malaysia di AS. Beliau dan isteri akan menjadi hos majlis rumah terbuka Aidilfitri untuk mereka di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di sini.

Najib akan turut mengadakan sidang video dengan pelajar Malaysia yang berada di pelbagai institusi pengajian di AS.

Sementara itu, CNN, New York Times dan Wall Sreet Journal mengatur wawancara masing-masing dengan Najib.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: