24 September 2010

Pameran termahal MKIM

UM - 24/9/10


NASKHAH al Quran kecil sebesar telapak tangan orang dewasa ini dan kotak simpanan bertatah pelbagai jenis batu permata antara maha karya dari Dinasti Mughal yang paling unik dan indah.


KITA jatuh asyik apabila membaca pelbagai epik dalam sejarahnya. Kisah-kisah kepahlawanan, penaklukan, pergolakan-pergolakan, peperangan, budaya keagamaan (jangan lupa Maharaja Akbar Agung, pengasas agama Deen Illahi semata-mata bagi menyatukan semua jenis agama).

Demikian juga budaya ilmu yang sangat tinggi (Maharaja Humayun sendiri mati dipercayai akibat dihempap buku-buku dalam perpustakaannya), kejayaan penemuan, kehebatan seni bina (Taj Mahal) sehinggalah ke dunia kesusasteraan yang sangat romantis!

Keasyikan yang menyebabkan kita sendiri mahu menjadi sebahagian dari sejarah empayar itu. Empayar kerajaan Islam Mughal di benua India yang memerintah selama 600 tahun (dari abad ke 15 - 18M) di benua India meninggalkan kesan sejarah yang bukan sedikit.

Maka India begitu berterima kasih atas peninggalan dan khazanah-khazanah yang ditinggalkan oleh empayar itu. Sebabnya, ia menjadi produk pelancongan dan sekian lama kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan dan ekonomi negara itu.

Kini di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Jalan Perdana, Kuala Lumpur, sebahagian khazanah yang tidak ternilai harganya peninggalan empayar Mughal yang diperintah oleh enam maharaja utama, iaitu Babur (1526-1530M), Humayun (1530-1556M), Akbar Agung (1556-1605M), Jahangir (1605-1627M), Shah Jahan (1628-1657M), Aurangzib (Alamgir) (1658-1707M) ada dipamerkan di muzium itu.

Khazanah yang dimaksudkan simbol kemewahan yang sebahagian besarnya merupakan kerdipan batu-batu permata.

Empayar Mughal disifatkan bukan sahaja contoh terbaik dalam aspek kuasa dan pemerintahan malah soal kemegahan dengan penciptaan bersifat maha karya yang tidak sahaja dihasilkan dalam bentuk seni bina atau hamparan permaidani, lukisan atau apa sahaja tetapi juga perhiasan batu-batu permata yang memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.

Tetapi yang pasti, empayar Mughal adalah sebahagian contoh ketamadunan dunia atau lebih tepat tamadun Islam yang sehingga kini kehebatan mereka tiada tandingan.

Jika diperhatikan pameran 'Warisan Khazanah Dunia-Seni Hiasan Permata India Dinasti Mughal' ini merupakan pameran yang termahal pernah diadakan di MKIM setakat ini.

Ini kerana kos insuransnya sahaja melibatkan nilai jutaan ringgit. Namun, yang lebih penting, kemewahan hasil seni hiasan itu turut melibatkan kisah dan sejarah di sebaliknya dan tahukah anda sebahagian besar daripada kisah-kisah tersebut masih diselubungi misteri yang tidak terungkap sehingga kini.

Percayalah atas dasar apa pun, sama ada minat sejarah atau mengagumi seni hiasan permata, mengunjungi pameran yang berlangsung dari Julai lalu sehingga 30 Disember 2010, anda adalah pengunjung yang sangat bertuah.

Bukan kerana tidak perlu mengunjungi India bagi menyaksikan semua khazanah ini tetapi pameran ini pastinya akan menjadi guru terbaik anda kerana setiap keagungan dunia tidak akan bertahan lama.

Begitu juga Dinasti Mughal, mengapa Maharaja terakhirnya Bahadur Shah II mengakhiri riwayatnya dengan merintih sedih kerana dirinya sendiri terbuang di Myanmar, hanya beberapa jarak memisahkan dirinya dari India? Mengapa?

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: