24 September 2010

Peruntukan bajet 2011 meningkat

UM - 24/9/10

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Kerajaan dijangka memperuntukkan bajet yang lebih tinggi untuk tahun depan berbanding RM191.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2010.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, jangkaan Bajet 2011 yang lebih tinggi itu berikutan peningkatan pendapatan negara tahun ini berbanding tahun lalu.

"Disebabkan pendapatan kerajaan lebih maka bolehlah kita menyediakan peruntukkan yang besar untuk bajet tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perancangan Kewangan Malaysia mengenai Pembangunan Kewangan Islam di sini hari ini.

Menurut Husni, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memandang tahun depan adalah tahun kedua pelaksanaannya dan sebagai tambahan, inisiatif di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) juga turut bermula tahun depan.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan NKEA ialah di bawah perbelanjaan pembangunan.

"Kira-kira 70 peratus daripada perbelanjaan operasi ialah kos tetap, termasuk pembayaran pencen dan pembayaran semula hutang," katanya.

Pada Bajet 2010, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM191.5 bilion, dengan RM138.3 bilion digunakan bagi perbelanjaan operasi dan RM53.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Mengulas lanjut Husni berkata, di bawah inisiatif NKEA, 92 peratus akan dibiayai leh sektor swasta dan selebihnya lapan peratus oleh kerajaan.

Untuk NKRA, beliau berkata, satu penilaian prestasi akan dilaksanakan bagi menyemak kembali kesan projek ke atas rakyat dan sama ada ia telah menjangkau tahap kepuasan.

Mengenai kebimbangan menggerakkan pelaburan swasta untuk Program Transformasi Ekonomi, beliau berkata: "perasaan tersebut sentiasa ada memandangkan ia masih disifatkan inisiatif baharu,".

Namun katanya, sasaran itu boleh dicapai dengan lebih 100 projek permulaan, yang mana tujuh projek Program Transformasi Ekonomi (EEP) telah pun bermula selain 12 hampir selesai dengan perbincangan masing-masing.

"Jika tujuh projek ETP ini boleh dimulakan tahun depan, ia akan meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan memberikan keyakinan kepada orang asing," kata beliau.

Sejumlah 131 projek bernilai RM670 bilion akan dilaksanakan meliputi 12 sektor dengan tujuh bernilai RM118 bilion.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: