24 September 2010

Pertubuhan Peladang diminta beri peluang kepada pemimpin muda

BH - 2010/09/24

SHAH ALAM: Pertubuhan Peladang perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk mengisi kepimpinan pertubuhan itu dalam usaha memaju dan membangunkan sektor pertanian di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, pertubuhan peladang perlu berani membuat perubahan kerana pertubuhan itu memerlukan generasi pelapis untuk meneruskan peranan mereka.

"Kita perlu beri peluang kepada pemimpin muda agar mereka boleh memberi idea yang baru. Kalau kepimpinan masih ditakuk lama kita bimbang pertubuhan ladang tidak akan diterima oleh generasi muda," katanya ketika merasmikan kursus kepimpinan peladang negeri Selangor di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu ialah Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan.

Selain itu, Noh berkata, di bawah sektor pertanian, pembangunan modal insan menjadi satu keperluan bagi menjana pendapatan serta sumbangan kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pertubuhan peladang mempergiatkan pembangunan modal insan melalui pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai etika dan moral yang tinggi.

"LPP juga perlu lebih komited dalam merancang dan melaksanakan program-program pendidikan dan latihan secara berterusan kepada ahli LPP, ahli pertubuhan peladang dan peladang ke arah membentuk serta melahirkan modal insan yang cemerlang," katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: