17 Oktober 2010

Gobalakrishnan terus kritik Azmin

MM - 17/10/10

PETALING JAYA 16 Okt. - "Saya akan menyokong sesiapa sahaja calon selain Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti akan datang."

Demikian tegas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan selepas menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan Naib Presiden di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu, beliau sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa Azmin adalah punca kepada masalah yang berlaku dalam PKR selama ini.

"Saya telah bersama beliau (Azmin) dalam parti selama 11 tahun dan merasakan belum tiba masanya bagi beliau menjadi Timbalan Presiden," katanya.

Sidang akhbar tersebut turut menarik perhatian apabila ia turut disertai calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden.

Bagaimanapun Mustaffa menafikan mereka bertiga berada dalam satu pasukan bagi menghadapi pemilihan parti tidak lama lagi.

"Sekarang belum lagi tetapi tidak tahu mungkin dalam dua tiga hari ini kami akan menjadi satu pasukan. Ia terpulang kepada keadaan," katanya.

Sementara itu, Manikavasagam turut menggesa penyandang jawatan Naib Presiden, R. Sivarasa supaya tidak mempertahankan jawatannya kerana selama ini beliau tidak membawa apa-apa perubahan kepada parti.

Menurutnya, PKR memerlukan orang baru yang boleh bekerja keras untuk membangunkan parti dan bukan orang yang hanya mampu berdiam diri sahaja.

Sementara itu N. Gobalakrishnan, ketika dihubungi Minguan Malaysia mengakui dirinya berada dalam keadaan tertekan sejak tujuh tahun lalu kerana sikap Naib Presiden parti, Azmin Ali yang sentiasa memanipulasi keadaan.

Menurutnya, Azmin telah memainkan peranan menyebabkan beliau tidak dilantik menjawat apa-apa jawatan dalam parti sehingga berasa seperti dipinggirkan.

Katanya, beliau percaya terdapat pemimpin parti yang mengetahui tentang perkara yang dilakukan oleh Azmin walaupun sesetengah yang lain gagal mengesannya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: