30 Oktober 2010

Jentera PKR Sabah boikot kempen Batu Sapi?

UM - 30/10/10

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Tidak sampai 10 peratus daripada kekuatan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah turun padang untuk membantu kempen calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Ng Lum Yong berkata, keadaan itu berlaku kerana ramai ahli dan pemimpin PKR Sabah tidak berpuas hati dengan calon parti itu, Ansari Abdullah.

Memburukkan lagi keadaan, katanya, tindakan segolongan pihak atasan PKR yang digelarnya sebagai 'ahli emas' dalam memastikan pemilihan Ansari sebagai calon seperti membelakangi pemimpin PKR di peringkat akar umbi yang mempunyai pilihan lain.

"Saya sedih tentang cara pemilihan Ansari itu kerana ia tidak melalui sistem yang konkrit, hanya dipilih oleh golongan 'ahli emas' dan ini telah berlaku dalam beberapa siri pilihan raya kecil lalu.

"Oleh itu kita nampak selepas empat hari kempen berjalan, tidak sampai 10 peratus jentera PKR Sabah turun padang membantu calon mereka," katanya kepada pemberita di Ampang dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa blog melaporkan para penyokong Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Tamrin Jaini dan penyokong Ansari bertumbuk sesama sendiri di Lapangan Terbang Sandakan Sabah pada 26 Oktober lalu akibat tidak berpuas hati dengan pemilihan calon itu.

Malah, blog The Unspinners melaporkan: "Sebaik sahaja Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Ansari sebagai calon, ramai penyokong Ahmad Tamrin bertindak keluar Dewan Komuniti Persatuan Hakka Sandakan sebagai memprotes pemilihan calon itu, walaupun ketika itu Anwar masih berada di dalam dewan tersebut."

Lum Yong seterusnya meminta pimpinan PKR pusat memperhalusi sistem pemilihan calon parti itu pada pilihan raya akan datang.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: