30 Oktober 2010

Pendedahan Zulkifli tidak mengejutkan - Fairus

UM - 30/10/10

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tentang perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang tidak diketahui oleh Pas, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, tidak mustahil perjanjian seperti itu wujud kerana beliau sudah lama mengenali Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang bersikap talam dua muka.

''Anwar sendiri dalam satu pertemuan tertutup ketika saya masih menjadi Timbalan Ketua Menteri pernah menyebut agar Pas tidak diberikan kuasa yang banyak di Pulau Pinang kerana parti itu akan membolot kuasa berkenaan.

''Justeru saya tidak terkejut dengan apa yang didedahkan oleh Zulkifli kerana kalau Anwar sendiri tidak percaya terhadap Pas, apatah lagi anak-anak buahnya,'' katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh laman web UMNO-Online di http://umno-online.com hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Zulkifli di Dewan Rakyat semalam tentang perjanjian rahsia yang memberikan kuasa autonomi kepada DAP terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Mohammad Fairus menegaskan, Pas sebenarnya hanya menjadi kuda tunggangan dan korban untuk nafsu politik Anwar dan DAP.

''Terlalu banyak sandiwara berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini dan kepada saudara-saudara saya dalam kepimpinan Pas, renungkanlah perkara ini.

''Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan cuma amat berharap Pas berwaspada dan tengok-tengoklah rakan mereka terutama Anwar yang merupakan politik rakus yang sanggup memperalatkan sesiapa demi kepentingan dirinya sendiri,'' ujarnya.

Tambah Mohammad Fairus, secara peribadi beliau tidak bersetuju Pas diperlakukan sedemikian rupa.

''Percayalah jika kepimpinan Pas mengabaikan apa yang didedahkan satu persatu hari ini, satu hari nanti Pas akan menjadi mangsa korban tikam belakang sekutu mereka sendiri,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: