30 Oktober 2010

Kem Zaid Ibrahim minta proses pengundian PKR ditangguh

UM - 30/10/10

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Para penyokong Datuk Zaid Ibrahim menggesa proses pengundian bagi pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermula hari ini ditangguhkan kerana mendakwa berlaku beberapa perkara mencurigakan.

Memetik laporan portal berita dalam talian, freemalaysiatoday.com (FMT), ejen yang mewakili Zaid dalam kempen beliau merebut jawatan Timbalan Presiden parti meminta sekretariat pemilihan terlebih dahulu menyelesaikan masalah teknikal dan pentadbiran yang wujud sebelum meneruskan proses pemilihan berkenaan.

"Kami khuatir dengan cara pemilihan PKR yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan sekretariat parti," kata ejen Zaid, Rashid Azad Khan dan pembantu politiknya, Muhammad Firdaus Christopher seperti dipetik FMT.

Hari ini bermula proses pengundian PKR di 10 cabang iaitu di Kedah dan Kelantan dengan sekurang-kurang empat daripadanya didakwa berhadapan masalah teknikal dan pentadbiran.

Empat cabang itu adalah Tumpat dan Kota Bharu di Kelantan serta Langkawi dan Alor Setar di Kedah.

Difahamkan proses pengundian di empat cabang berkenaan lewat bermula akibat kelewatan kertas undi di pusat-pusat pengundian.

Pemilihan menggunakan sistem langsung iaitu satu ahli satu undi yang pertama kali dilaksanakan PKR melibatkan sebanyak 69 cabang parti yang akan keluar membuang undi bermula hari ini hingga Ahad.

Ia merupakan sebahagian daripada tiga peringkat pengundian setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad melibatkan 400,000 ahli yang dijadualkan selesai pada 21 November ini sebelum Kongres Kebangsaan PKR 2010 diadakan pada 27 November ini.

Hari ini sebanyak 10 cabang dijadual membuang undi iaitu masing-masing lima di Kelantan dan Kedah. Cabang berkenaan adalah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa di Kelantan.

Bagi Kedah pula melibatkan cabang Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Ahli-ahli PKR di cabang terlibat akan mengundi mulai 10 pagi hingga 4 petang dan proses pengiraan akan dibuat selepas itu di setiap cabang terbabit, tetapi keputusan rasmi hanya akan diumumkan ketika kongres parti akhir bulan depan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: