29 Oktober 2010

'PKR, kalau tak terjun laut.., mereka bergaduh'

UM - 28/10/10

SANDAKAN 28 Okt. - "Itulah Parti Keadilan Rakyat (PKR), kalau tidak terjun laut.., mereka bergaduh sesama sendiri," sindir Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi.

Sindiran itu ditujukan kepada calon PKR, Ansari Abdullah yang terjatuh ke laut bersama dua yang lain apabila jeti dilalui mereka runtuh selepas pulang berkempen dari Pulau Api-Api semalam dan memperbesarkan insiden tersebut.

Teck Lee berkata, walaupun bersimpati, namun setiap calon perlu tahu risiko yang bakal dihadapi ketika berkempen tanpa perlu dihebohkan jika berlaku insiden seperti yang menimpa Ansari semalam.

"Saya pernah pergi ke beberapa pulau sebelum ini, memang saya nampak ada jambatan dan jeti yang sudah usang, begitu juga rumah yang senget, jadi kita kena pandai-pandailah.

"Saya kasihan (ke atas nasibnya) sebagai sama-sama calon.., tapi macam saya dan jentera SAPP sewaktu berkempen di kawasan Sundang pada tengah malam, kita pandai-pandai jagalah," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan SAPP di Bandar Leila, Batu Sapi dekat sini hari ini.

Mengulas cabaran Ansari yang mengajaknya dan calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin berdebat Ahad ini, Teck Lee berkata, beliau hanya bersedia berdebat berhubung apa juga isu jika cabaran itu dilontarkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Siapa Ansari, dia cuma Ketua PKR Cabang Tuaran. Beliau mahu cakap bagi pihak siapa? Saya presiden parti, boleh cakap untuk SAPP.

"Tapi jika pasal Batu Sapi, orang lain yang ketua cabang PKR di sini. Mungkin Ansari nak cakap pasal jeti?'' kata Teck Lee sinis.

Dalam pada itu, Teck Lee memanggil sidang akhbar berkenaan bagi mengajak Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berdebat berhubung isu Sabah untuk rakyat Sabah dan hak autonomi negeri itu yang dianggap lapuk oleh BN.

"Dokumen Perjanjian Malaysia menyatakan hak Sabah namun malangnya ia semakin terhakis dan oleh itu saya ajak Ketua Menteri berdebat Ahad ini di Dewan Hakka sama ada benar isu ini lapuk atau ia isu tertunggak yang masih belum diselesaikan," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: