29 Oktober 2010

Shafie bidas sikap ahli Pas Kelantan

UM - 28/10/10

GUA MUSANG 28 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan dibidas kerana mempertikaikan sumbangan Kerajaan Pusat kepada masyarakat Orang Asli sedangkan mereka sendiri tidak memberi sebarang bantuan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai kerajaan negeri, Pas sepatutnya membantu golongan itu supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Pusat selama ini sewajarnya dibantu oleh kerajaan negeri bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Kerajaan Pas Kelantan pertikaikan apa yang kita beri tetapi apa yang dia buat untuk masyarakat Orang Asli? Mana ada pertolongan yang diberi malah tanah yang diberikan telah merosakkan bekalan air.

"Bukan itu sahaja, tindak tanduk mereka ini juga telah merosakkan rundingan kita untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli," katanya kepada pemberita ketika melawat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Balar di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Pas hanya pandai membuat janji tetapi tidak pernah menunaikannya biarpun rakyat hidup dalam kesusahan.

"Setiap kali pilihan raya mereka janji untuk beri tanah kepada masyarakat Orang Asli, tetapi sampai hari ini tidak ditunaikan, sekarang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas, mereka janji lagi. Asyik berbohong saja, janji tidak pernah ditunaikan," katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat telah memberi pelbagai bantuan Orang Asli dalam bidang ekonomi serta pendidikan bagi mengubah taraf hidup mereka dan usaha itu diperkukuhkan dengan peruntukan besar kepada JHEOA.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: