29 Oktober 2010

Pemuda Pas diminta disiplinkan ahli

UM - 28/10/10

GUA MUSANG 28 Okt. - Dewan Pemuda Pas diminta supaya mendisiplinkan ahli-ahlinya agar mereka tidak bertindak agresif ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sepertimana kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) di Kampung Lembaga semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan tersebut seolah-olah mencerminkan Pas begitu terdesak kerana tiada isu yang hendak diketengahkan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut telah mencetuskan ketegangan dan mengganggu gugat keharmonian penduduk setempat.

"Jika Pemuda UMNO boleh mengawal disiplin ahlinya, kenapa Pas tidak boleh perkara yang serupa? Adalah diingatkan suasana di sini tidak sama di tempat lain.

"Saya berharap agar pasukan keselamatan dan Ketua Pemuda Pas dapat memantau perbuatan sebegini agar tidak berulang lagi, jangan ia menjadi keruh," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan orang ramai di Stesen Keretapi Gua Musang di sini hari ini.

Khairy berkata, sebelum ini, beliau melihat jurang permusuhan antara Pas dan BN di Galas amat kecil berbanding di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Katanya, ia dapat dilihat apabila mereka boleh duduk semeja di kedai kopi bersembang seperti tiada perbalahan, walaupun berlainan fahaman politik.

"Sepanjang pemerhatian saya sejak Ahad lalu, mereka ini (petugas BN dan Pas) mesra antara satu sama lain dan ini tidak boleh dinafi oleh mana-mana pihak,'' jelasnya.

"Hanya dua hari lalu perubahan ini berlaku, apabila Pemuda Pas dipercayai dari luar Gua Musang tiba ke kawasan ini, dan mula bertindak 'nakal' dengan cuba menimbulkan suasana tegang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahari Abdullah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

"Bukan untuk kes ini sahaja malah sejak Selasa lalu kita tidak terima sebarang laporan berhubung mana-mana kejadian dalam tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil ini.

"Kami berharap perkara ini berterusan sehingga hari mengundi pada 4 November nanti dan menjadi kempen terbersih serta hormat antara satu sama lain dalam pilihan raya kali ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: