29 Oktober 2010

Termakan janji manis DAP

UM - 28/10/10

PULAU PINANG 28 Okt. - Akibat termakan janji-janji manis Kerajaan DAP Pulau Pinang, penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini akhirnya terpaksa menanggung kerugian.

Mereka sebelum ini dijanjikan pangsapuri kos sederhana sebagai pampasan berikutan rumah masing-masing diambil oleh pemaju untuk projek pembangunan, namun apa yang diberikan hanya kediaman bertaraf kos rendah.

Lebih dikesalkan, jelas Pengerusi Persatuan Penduduk kampung berkenaan, Mohd. Khir Mohd. Said, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang membuat janji tersebut secara lisan hanya berdiam diri dan mengelak apabila mahu ditemui.

Beliau menambah, ternyata Guan Eng hanya pandai membuat janji-janji dan tidak bersungguh-sungguh mahu membantu orang Melayu.

"Beberapa hari sebelum bulan puasa lalu, dia (Guan Eng) jumpa kami dan berjanji untuk membela nasib semua penduduk kampung ini.

"Dia minta kami supaya tidak risau dan mahu kami menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang bulan mulia itu.

"Namun, itu semua hanyalah janji palsu dia," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Pada 1 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen di sini memutuskan menolak untuk melanjutkan tempoh penangguhan pelaksanaan arahan pengosongan dan merobohkan rumah penduduk Kampung Jalan Pokok Asam oleh pemaju.

Mereka diarah keluar dari kediaman masing-masing selewat-lewatnya semalam dan pemaju dengan kebenaran mahkamah berhak menghalau penduduk terbabit selepas tarikh tersebut.

Difahamkan, kampung berkenaan yang berusia kira-kira 100 tahun akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 sebuah oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

Mohd. Khir memberitahu, walaupun tidak bersetuju dengan tawaran tersebut, semua penduduk terbabit terpaksa menandatangani perjanjian dengan pemaju sebagai persetujuan menerima pampasan kerana tidak mahu menanggung sebarang kerugian.

Menurutnya, dalam perjanjian itu, mereka diberikan pampasan berupa kediaman bersaiz 60 meter persegi dalam radius lima kilometer dari kampung berkenaan yang dijadualkan siap selama tiga tahun.

"Kami juga diarah mencari rumah sewa dalam tempoh 30 hari selepas menandatangani perjanjian dan diberikan RM500 sebulan untuk bayaran sewa," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat lima buah rumah tidak bernombor tidak ditawarkan pampasan oleh pemaju seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri.

"Dalam setiap rumah tersebut terdapat sekurang-kurangnya dua kelamin dan mereka boleh dihalau keluar oleh pemaju pada bila-bila masa," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengemukakan rayuan mengenai nasib para penghuni rumah tidak bernombor itu kepada kerajaan negeri tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: