28 November 2010

103 ahli, pemimpin PAS keluar parti

BM - 28/11/10

PASIR PUTEH: Seramai 103 ahli dan penyokong PAS cawangan Wakaf Bunut, di sini diketuai bekas ketuanya, Mohd Soleh Mat Hassan, 66, dan bekas setiausaha cawangan, Nordin Daud, 48, yang juga bekas Ketua Penerangan PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, keluar parti itu dan menyertai UMNO.

Nordin berkata, mereka meninggalkan PAS kerana menyedari perjuangan parti itu selama ini hanya sia-sia dan paling menyedihkan ia kini ke arah menghakis kuasa pada orang Melayu dan pada masa sama hanya pandai menabur janji tetapi tidak menunaikannya selepas diberi mandat oleh rakyat.

Beliau mengetuai kumpulan berkenaan menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman pada satu majlis, di sini malam kelmarin yang turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO bahagian, Rujhan Salleh dan Ketua Wanita, Karimah Mohd Noor.

Nordin yang menyertai PAS pada 1990 selepas bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mendakwa sepanjang dalam PAS termasuk ketika diberi tugas penting di kawasan Pasir Puteh khususnya Selising, beliau mendapati banyak berlaku perkara tidak betul dalam pentadbiran parti walaupun diberi peluang mentadbir negeri selama 20 tahun.

Mohd Soleh pula yang mengetuai PAS cawangan Wakaf Bunut selama 20 tahun, mendakwa disingkirkan selepas kemenangan PAS pada pilihan raya umum lalu tanpa alasan kukuh lalu mengambil keputusan menyertai UMNO tanpa sebarang paksaan atau imbuhan sebaliknya percaya hanya UMNO mampu membela nasib Islam dan orang Melayu di negara ini.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: