28 November 2010

Mood Untuk Ke Putrajaya Semakin Lesu, Kata Perwakilan PKR

Bernama - 27 November, 2010 19:44 PM

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Seorang perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berkata mood di kalangan sesetengah anggota PKR untuk berjuang menawan Putrajaya sudah semakin lesu.

"Rakyat yang masih memasang angan-angan untuk melihat dan yakin kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sekarang ni mereka semua sudah menolak politik harapan," kata perwakilan Perak, Zulkifli Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa merasmikan Kongres Nasional Ketujuh parti itu di sini.

Zulkifli berkata kini sudah ada di kalangan anggota parti yang mempertikaikan apa bezanya kerajaan pakatan pembangkang yang memerintah sesebuah negeri dengan Kerajaan Pusat yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

"Ketua Umum (Anwar Ibrahim) dan kerajaan negeri kita bercakap pasal reform... nak reform itu dan ini, tapi pada hakikatnya parti sendiri gagal untuk direformasikan," katanya.

Zulkifli juga menuntut supaya para pemimpin parti memberi jawapan terhadap persoalan anggota parti mengenai perjalanan pilihan raya parti yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Beliau ingin para pemimpin menjawab sama ada JPP diberi kuasa penuh untuk melaksanakan pemilihan dan sama ada ia bersih, adil dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kita mengkritik kelemahan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang tidak adil dan tidak telus dan sepatutnya kita menjadi contoh menjalankan pilihan raya dengan adil," katanya.

Zulkifli berkata untuk kelangsungan hidup parti, Ketua Umum dan Presiden perlu menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh beliau yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

Masalah-masalah ini perlu diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin baru dan mereka juga diingatkan supaya jangan melupakan peringkat akar umbi yang menyokong mereka kerana tempoh tiga tahun perkhidmatan itu bukannya lama.

Beliau berkata sejak 12 tahun PKR ditubuhkan, para pemimpin khususnya wakil-wakil rakyat parti itu, jarang melawat anggota yang di bawah, kecuali jika dijemput dan kadang-kadang panggilan telefon pun tidak berjawab.

Sementara itu, Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail ketika membahaskan usul yang sama, menggesa agar anggota parti agar tidak menggunakan media massa sebagai medium untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemimpin parti.

/hwa: bernama.com.my/

Tiada ulasan: