25 November 2010

Anwar gagal lagi

UM - 25/11/10

Oleh AMIRUDDIN HARUN, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah ke atas pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bagaimanapun membenarkan Ketua Pembangkang itu dibekalkan dengan borang protokol perubatan (pro forma) yang disediakan oleh Sheue Feng berhubung butiran perubatan ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Beliau menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah setelah berpendapat bahawa apa yang dilakukan oleh saksi tersebut tidak boleh dikira sebagai campur tangan dalam aspek keadilan mahupun boleh ditahan kerana menghina mahkamah atau disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Peguam bela utama Anwar, Karpal Singh semalam mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dokumen tersebut dan perintah menghina mahkamah terhadap Sheue Feng kerana tindakannya yang merujuk kepada pro forma yang disediakannya itu semasa prosiding berhenti rehat.

Dalam keputusannya, Hakim Mohamad Zabidin menyatakan, beliau bersetuju bahawa mengikut Seksyen 159 Akta Keterangan, perkataan 'semasa dalam pemeriksaan' turut merujuk kepada keadaan sewaktu mahkamah berhenti rehat.

''Ini kerana untuk membuat kesimpulan sebaliknya hanya akan menyebabkan ketidakadilan memandangkan saksi boleh melihat apa sahaja (dokumen) dan ini menafikan hak pihak pembelaan di bawah Seksyen 160 Akta Keterangan.

''Dengan ini, saya membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya pro forma ini dikemukakan dan ditunjukkan kepada mereka mengikut peruntukan Seksyen 159 akta tersebut,'' katanya.

Sheue Feng ketika disoal balas oleh Karpal semalam mengakui merujuk kepada pro forma sewaktu mahkamah ditangguhkan seketika untuk menyegarkan semula ingatannya sedangkan beliau enggan berbuat demikian semasa memberi keterangan di mahkamah walaupun berkali-kali diminta oleh Karpal.

Pro forma merupakan borang yang mengandungi soalan-soalan berkaitan butiran-butiran peribadi dan kejadian yang perlu diisi oleh doktor yang mengendalikan kes-kes kesalahan seksual.

Sheue Feng, 40, merupakan saksi pendakwa ketiga dalam kes liwat yang dihadapi oleh Anwar, 63, terhadap Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Selepas keputusan itu diumumkan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden meminta penjelasan sama ada pro forma sepenuhnya diberikan kepada pihak pembelaan sedangkan saksi itu tidak merujuk keseluruhan dokumen tersebut.

Ujar beliau lagi, tiada soalan ditanya kepada Sheue Feng semasa pemeriksaan balas berkenaan perkara yang dirujuk oleh saksi tersebut.

Hakim Mohamad Zabidin bagaimanapun menyatakan, saksi itu telah mengaku merujuk kepada pro forma tersebut dan dalam apa pun jua keadaan, arahannya adalah supaya dokumen itu dibekalkan kepada pihak pembelaan.

Mohd. Yusof kemudian akur dengan arahan berkenaan dan menyatakan dokumen itu ada pada Sheue Feng apabila Karpal menghendakinya pada masa tersebut.

Bagaimanapun apabila saksi itu dipanggil, mahkamah dimaklumkan bahawa Sheue Feng berada di dalam tandas.

Hakim Mohamad Zabidin kemudian meminta perbicaraan disambung semula tetapi Karpal menegaskan bahawa adalah tidak wajar soal balas saksi diteruskan kerana terdapat permohonan supaya hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes itu.

Mohd. Yusof pula menegaskan bahawa sehingga permohonan rasmi belum dikemukakan, soal balas saksi itu boleh diteruskan.

Karpal kemudian memberitahu Anwar baru sahaja memfailkan notis usul dan afidavit bagi menyokong permohonan tersebut hari ini.

Menurutnya, permohonan itu dikemukakan oleh Anwar dengan alasan hakim berkenaan telah membuat ugutan kepada beliau (Karpal) sehingga menyebabkan anak guamnya bimbang tidak akan memperoleh perbicaraan yang adil.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk mendengar permohonan tersebut.

Sementara itu, dalam afidavitnya, Anwar menyatakan, Karpal telah meminta hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes itu dengan alasan tidak mematuhi keputusan Mahkamah Agung pada 1993 semasa menolak permohonan beliau untuk dibekalkan dengan pro forma, semalam.

Dakwanya, hakim berkenaan telah menjawab bahawa apa yang dinyatakan oleh peguam itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan mahkamah sebelum Karpal menegaskan persoalan tersebut tidak timbul dan membangkitkan bahawa beliau (Anwar) tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Berikutan ugutan terhadap peguamnya itu, Anwar mendakwa beliau amat bimbang tidak akan diberikan perbicaraan yang adil mengikut Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: