25 November 2010

‘Anwar jangan sama dirinya Suu Kyi’

UM - 25/11/10

Oleh SAFINA RAMLI, utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 24 Nov. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menyamakan dirinya dengan pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana di negara ini beliau bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja tanpa sebarang sekatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Anwar tidak sepatutnya mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa nasibnya sama dengan Suu Kyi.

“Macam mana Anwar kata dia macam Suu Kyi sedangkan dia bebas ke sana-sini adakan ceramah politik. Orang ramai boleh nilai perkara ini sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah.

Anwar baru-baru ini dilaporkan mengadakan ceramah di luar negara dan mendakwa negara ini tidak mengamalkan demokrasi serta menyamakan dirinya seperti Suu Kyi.

Hishammuddin berkata, Anwar cuba meletakkan dirinya sebagai hero di mata masyarakat negara ini sedangkan perkara sebaliknya berlaku.

“Yang penting ialah siapa yang benar dan ikhlas akan tetap diketahui juga dan pihak kami akan terus menjalankan tugas untuk menjamin keselamatan negara.

“Boleh saya katakan di sini negara kita dalam keadaan yang selamat sekarang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun indeks jenayah di negara ini semakin berkurangan, persepsi masyarakat bahawa mereka masih tidak selamat ketika berada di luar, tetap ada.

“Di kawasan-kawasan panas di mana kita beri tumpuan di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk pastikan kadar jenayah jalanan dan jenayah keseluruhan menurun, kalau pergi ke kawasan-kawasan itu, rakyat akan kata banyak perubahan.

“Tetapi persepsi negatif kadang-kala boleh wujud dengan satu kes sensasi, satu jenayah kejam. Cara pertama nak mengatasinya adalah dengan kerjasama masyarakat, dan kedua, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Tambahnya, dalam usaha mendapatkan penyertaan masyarakat, Rukun Tetangga dan badan-badan sukarela lain akan digerakkan seperti Rakan Cop yang mana keanggotaan ketika ini mencapai ratusan ribu akan diperhebatkan manakala Ikatan Relawan Rakyat pula akan diberi nilai tambah.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: