15 November 2010

Berdolak-dalik isu ketua pembangkang

UM - 15/11/10

IPOH 14 Nov. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba berdolak-dalik apabila enggan mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim yang mengutarakan seorang pemimpin dari Pas sepatutnya menjadi ketua pakatan pembangkang.

Beliau sebaliknya cuba mencari 'jalan selamat' dengan mengatakan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menjalani proses pengundian parti dan tidak sesuai untuknya mengulas isu tersebut.

"Untuk bercakap apa-apa mengenainya, ia mungkin akan disalah erti. Saya tidak akan menjawabnya. Terima kasih atas soalan tersebut.

"Saya merasakan tidak sesuai untuk mengulasnya sekarang. Awak boleh tanya saya selepas pengundian mereka tamat pada hujung bulan ini," katanya pada sidang akhbar sebelum proses pengundian pemilihan parti negeri berlangsung.

Turut hadir pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak Ke-15 yang diadakan di sini hari ini ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zaid yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat PKR dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan sebelum ini mencadangkan seorang pemimpin Pas perlu mengetuai pakatan pembangkang yang dilihat lemah ketika ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada krisis dalaman PKR akan turut menjejaskan peluang kemenangan DAP pada pilihan raya akan datang, Guan Eng sekali lagi enggan mengulas.

Bagaimanapun, Kit Siang yang turut berada dalam sidang akhbar itu, mencelah dan cuba 'mematikan' pertanyaan lanjut pemberita mengenainya.

"Pemilihan parti adalah fokus anda. Kita berharap pada akhirnya, DAP akan menang, pakatan pembangkang juga menang dan rakyat juga akan menang, noktah, ok," katanya.

Terdahulu, Koo Ham mengakhiri ucapan alu-aluannya meminta ahli parti tidak beremosi kerana konvensyen itu terbuka kepada media.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: