15 November 2010

Nallakarupan sedia bertemu Pas, DAP

UM - 15/11/10

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Datuk S. Nallakaruppan berkata, beliau malu apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai tembelang Ketua Pembangkang itu telah terdedah.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui wajah sebenar pemimpin itu.

Katanya, cadangan pertemuan itu adalah atas dasar hormat kepada Pas yang disifatkannya sebagai sebuah parti yang dianggotai orang alim.

"Pada bila-bila masa dan di mana sahaja saya bersedia untuk bertemu pemimpin Pas bagi mendedahkan wajah sebenar Anwar dan kenapa dia terlalu sayang kepada Azmin sehingga boleh menjejaskan masa depan pakatan pembangkang sendiri.

"Saya malu bila tengok pemimpin Pas yang alim boleh terpengaruh dengan Anwar dan saya tidak kisah mereka tidak mahu menerima pandangan saya selepas pertemuan kelak asalkan saya telah melunaskan tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran.

"Hasrat ini adalah kerana saya amat menghormati pemimpin Pas dan sebagai bukti sehingga hari ini saya tidak pernah membuat kenyataan mempertikaikan mereka," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nallakarupan berkata beliau juga bersedia untuk bertemu pemimpin DAP untuk tujuan yang sama demi menegakkan kebenaran.

"Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah berkongsi sel yang sama di Penjara Kajang, pada masa itu kami banyak bertukar pandangan.

"Sebagai seorang rakan, saya menasihatkan Guan Eng supaya berfikir masak-masak sebelum meneruskan kerjasama dengan Anwar, saya khuatir DAP yang tanggung padah dengan permainan politik licik Anwar," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: