30 November 2010

Hapus ketuanan Melayu beri implikasi kepada negara dan raja-raja

UM - 30/11/10

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Penghapusan konsep ketuanan Melayu akan membawa implikasi yang besar kepada negara dan kedudukan institusi raja-raja Melayu yang dipertahankan di dalam Perlembagaan Persekutuan

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana istilah ketuanan Melayu juga berpaksi kepada sejarah bahawa negara ini pernah diperintah oleh raja-raja Melayu yang merupakan tuan kepada Tanah Melayu.

''Justeru menghapuskan ketuanan Melayu juga akan mempunyai implikasi yang besar kepada institusi raja-raja Melayu yang dipertahankan di dalam Perlembagaan,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas ikrar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya semalam.

Sehubungan itu, Zainul Rijal mengingatkan semua pihak supaya memahami konsep ketuanan Melayu dalam perspektif sebenar dan bukan dalam tafsiran demi meraih keuntungan politik.

Katanya, ini kerana konsep itu tidak membawa erti tuan dan oleh itu apabila dikatakan ketuanan Melayu kononnya membawa maksud kekuasaan Melayu dalam konteks sehingga memperhambakan bangsa lain, ia adalah sangat tidak tepat.

Tambahnya, sedangkan istilah itu merujuk kepada perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenanjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka yang diakui oleh British selain turut dirujuk sebagai kedaulatan serta kaitannya dengan kedudukan raja-raja Melayu.

Sementara itu pada masa sama, Zainul Rijal mengingatkan persaingan yang adil jika mahu diwujudkan perlu berlaku di dalam semua keadaan termasuk dalam sektor swasta dan perniagaan yang dimonopoli oleh bukan Melayu.

Katanya, dalam sektor tersebut, persaingan yang adil tidak berlaku kepada orang Melayu tetapi perkara itu tidakpun diperbesarkan.

Malah beliau menambah, kekayaan negara yang tidak seimbang juga jarang dibincangkan yang mana ia langsung tidak memihak kepada orang Melayu.

Justeru katanya, adalah amat tidak wajar kedudukan istimewa Melayu ini hendak dihapuskan tetapi pelaksanaan soal ini perlu dibuat dengan lebih telus agar semua orang Melayu khususnya di luar bandar yang miskin benar-benar menikmatinya.

''Kemunduran orang Melayu akan menjadi lebih nyata dengan penghapusan keistimewaan orang Melayu ini. Apa yang perlu dilakukan ialah memperbaiki pelaksanaan yang ada, bukan menyanggahnya,'' tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: