30 November 2010

Ilmuan Pas wajar tegur

UM - 30/11/10

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Tokoh serta golongan bijak pandai agama dalam parti pembangkang khususnya Pas disaran menasihati kepimpinan di kalangan pakatan itu agar belajar menghormati ayat-ayat suci al-Quran dan bukannya menjadikannya 'bahan mainan.'

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Khazan Che Mat berkata, adalah tidak manis dan tidak wajar sekiranya golongan bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran apatah lagi maksud yang dibaca itu diterjemah secara membuta tuli dan lari daripada maksud sebenar.

Justeru beliau mempersoalkan ke mana perginya para pemimpin agama dan tokoh ulama yang dicanang serta dijulang di kalangan kepimpinan parti pembangkang sehingga peristiwa malang berkenaan terus berlaku.

"Kalau tidak silap saya perkara seumpama ini sudah berlaku sebelum ini namun tidak ada teguran. Mungkin atas alasan itu, (golongan) bukan Islam sesuka hati membaca dan mentafsir ayat al-Quran. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Saya percaya jika perkara yang sama dilakukan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN), berapi-rapi kutukan akan menyusul tetapi disebabkan yang menterjemah ayat-ayat suci al-Quran mengikut seleranya itu datang yang daripada kalangan mereka, terus sunyi sepi," katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik daripada laman UMNO-Online hari ini.

Dalam perbahasannya, Subramanian telah mentafsir ayat 190 dan 191 dari surah Ali-Imran yang tunggang langgang dan keluar daripada konteks sebenar.

Khazan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu seterusnya berkata, kepimpinan agama parti-parti pembangkang selepas ini berkemungkinan akan mencari dalil dan hujah bagi menyokong tindakan berkenaan.

Justeru beliau percaya para pemimpin pembangkang akan menggunakan alasan seperti 'berdakwah' bagi menutup perkara berkenaan sedangkan hakikat yang sebenarnya adalah tidak betul dan tidak sepatutnya berlaku.

"Saya percaya, akan ada pembelaan daripada tokoh agama mereka dalam soal ini. Bagaimanakah mereka yang tidak percaya dengan al-Quran boleh menterjemah ayat-ayat suci itu?

"Janganlah kerana kepentingan politik, perkara yang terang-terangan salah dan mencemarkan kesucian Islam di depan mata tidak dihiraukan. Renung-renungkanlah soal maruah Islam dan bukannya nawaitu (niat) politik semata-mata," katanya.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: