16 November 2010

Jadikan nasib Zaid sebagai teladan - Zulkifli Noordin

UM - 16/11/10

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Nasib yang menimpa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim perlu dijadikan teladan oleh semua pihak supaya jangan terlalu percaya dengan janji-janji manis Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, 'tragedi' yang menimpa Zaid sejak beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR membuktikan Anwar seorang politikus yang sanggup menghalalkan apa sahaja perkara termasuk menipu.

"Kita jangan lupa inilah orangnya yang apabila ditanya adakah beliau akan mencabar Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO, dia kata 'Pak Ghafar macam ayah saya, takkan saya nak lawan dia'.

"Namun, tidak sampai beberapa hari, dia kumpul semua ahli-ahli UMNO dan umum lawan Tun Ghafar. Kesian Tun Ghafar, terkial-kial dibuatnya," katanya dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com, hari ini.

Beliau mengulas kritikan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin terhadap Anwar walaupun selama ini beliau dikenali sebagai penyokong kuat Penasihat PKR itu sehingga sanggup melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan.

Raja Petra yang kini bersembunyi di London menyifatkan Anwar juga seorang 'kuda trojan' dan pengacau apabila bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1982 walaupun tidak sampai setahun menyertai UMNO sama seperti label yang dilemparkan terhadap Zaid.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli menyeru semua pihak yang selama ini terlalu taksub dengan Anwar supaya kembali ke pangkal jalan kerana keghairahan untuk menawan Putrajaya dibimbangi akan terjadi 'menang sorak kampung tergadai'.

"Janganlah kerana seronok nak ke Putrajaya, akhirnya prinsip perjuangan dicampak dalam jamban (tandas) sahaja, kembalilah kepada perjuangan Islam, tanggalkan segala jubah kemungkaran dan maksiat politik yang sedang menyelimuti kamu," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: