28 November 2010

PKR semakin hilang sokongan – Khairy

MM - 28/11/10

JOHOR BAHRU 27 Nov. – Kehadiran tidak sampai 10 peratus ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di Petaling Jaya semalam membuktikan parti itu semakin hilang sokongan dan dilanda krisis kepimpinan yang serius.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, situasi itu menimbulkan persoalan dari segi moral apabila barisan kepimpinan yang dipilih itu tidak mewakili suara majoriti ahli.

“Bagaimana rakyat boleh anggap PKR sebagai sebuah parti yang serius jika Timbalan dan Naib Presiden serta barisan kepimpinan tertinggi parti dipilih dengan satu bilangan ahli yang begitu kecil iaitu hanya sembilan peratus dan tidak sampai 10 peratus.

“Sekiranya kepimpinan dipilih daripada sembilan peratus keahlian, maksudnya siapa yang dipilih adalah tidak sah dari segi moral. Jadi bagaimana kita nak letakkan kewibawaan moral kepada kepimpinan PKR kalau yang keluar mengundi tidak sampai 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Khatan Perdana anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Tebrau di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Masai 2, Pasir Gudang di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: