28 November 2010

Kos bina pondok rehat tidak masuk akal

MM - 28/11/10

KLANG 27 Nov. – Dua pihak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Exco Selangor, Ronnie Liu dan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Wendy Wong berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan dataran di Kompleks Sukan Pandamaran di sini.

Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) dan Pemuda MCA Klang membuat laporan itu selepas mendapati pembinaan dua pondok rehat di kompleks berkenaan menelan belanja tidak munasabah iaitu RM110,000.

Presiden PKIM, A. Prakash berkata, selain pondok rehat, laporan itu turut dibuat ekoran pembinaan tiga unit tandas lelaki, tiga unit tandas wanita dan satu unit tandas orang kurang upaya (OKU) yang melibatkan kos RM400,000.

“Kami kesal apabila Wendy dan Ronnie memberitahu sebelum ini bahawa mereka tidak tahu mengenai projek tersebut termasuklah jumlahnya sedangkan projek pembinaan pondok rehat dan tandas itu telah dibawa dalam mesyuarat penuh MPK September lalu.

“Paling menghairankan kami bagaimana Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dan Ahli Majlis MPK boleh meluluskan projek berkenaan. Ia sesuatu yang tidak logik,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan kepada SPRM di sini.

Pada masa sama, Prakash turut menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal memantau projek itu yang menggunakan wang rakyat dengan jumlah besar.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr. Ching Eu Boon yang turut membuat laporan mengenai penyelewengan tersebut, menegaskan pihaknya menyokong projek naik taraf kompleks sukan di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau membantah pembinaan pondok rehat bernilai RM55,000 sebuah kerana kosnya tidak masuk akal.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: