15 November 2010

UMNO Selangor desak Abdul Khalid letak jawatan

UM - 15/11/10

PETALING JAYA 14 Nov. – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Selangor berikutan kegagalannya untuk memantau pembaziran yang dilakukan oleh pengurusan badan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Abdul Khalid tidak layak memimpin yayasan itu kerana beliau hanya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk melakukan apa sahaja tanpa perlu memaklumkan kepadanya.

‘‘Abdul Khalid telah memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa beliau tidak diberitahu mengenai majlis sambutan ulang tahun ini dan kos yang terbabit.

‘‘Kami amat kesal dengan kenyataan seperti ini. Beginikah cara kita mentadbir sebuah yayasan kerajaan negeri apabila menyerahkan kepada pegawai hendak buat apa yang mereka suka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-58 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Selangor di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud memaklumkan Sultan Sharafuddin telah membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Isnin ini kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya yang melebihi RM300,000.

Menurut Ramli, Sultan Selangor menyifatkan kos yang amat tinggi itu sebagai pembaziran dan berpendapat wang itu lebih berfaedah jika digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan golongan kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Noh berkata, beliau turut kesal dengan kebiadapan Abdul Khalid yang merujuk Sultan Sharafuddin dengan ganti nama ‘beliau’ pada satu sidang akhbar semalam dan ia telah disiarkan menerusi Buletin Utama TV3, malam tadi.

‘‘Kita telah diajar di sekolah supaya menggunakan perkataan patik bagi merujuk kepada diri sendiri dan memanggil sultan dengan ganti nama baginda atau tuanku. Apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid jelas sekali bertentangan dengan budaya Melayu.

‘‘Inilah akibatnya apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terlampau asyik berkawan dengan DAP sehingga lupa adat budaya kaum kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh tetap mempertahankan kenyataannya semalam bahawa kos sebenar penganjuran majlis sambutan ulang tahun itu adalah melebihi RM800,000.

‘‘Saya difahamkan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki semalam telah membuat penafian dengan menyatakan bahawa kos penganjuran hanya RM285,000, jadi kita akan serahkan bukti kepada pihak yang akan melakukan audit terhadap pengurusan dan kewangan yayasan ini.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: