27 Disember 2010

Fokus pada isu Nik Aziz perlu letak jawatan

UM - 27/12/10

KOTA BHARU 26 Dis. - Dewan Pemuda Pas Kelantan diminta memberi fokus pada isu sebenar dalam menjawab desakan agar Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sayap Pas atau mana-mana pihak yang menyokong parti itu sewajarnya lebih rasional dan tidak memberikan pelbagai alasan remeh temeh untuk mempertahankan pemimpin mereka yang jelas tidak lagi mampu mentadbir negeri ini kerana sering sakit.

Beliau berkata, sekiranya benar Nik Abdul Aziz mampu untuk mentadbir negeri ini, ia perlu dibuktikan dengan melantik sebuah badan bebas bagi menyiasat tahap kesihatan Mursyidul Am Pas itu.

"Saya sudah jangka ada yang melenting apabila saya menggesa Menteri Besar Kelantan meletakkan jawatan. Hujah yang mereka berikan saya tak layak bercakap dengan berbagai alasan.

Soalnya selama ini mereka juga mendesak orang itu dan orang ini patut letak jawatan, apakah mereka layak bercakap soal itu.

"Fokus pada hujah-hujah saya, jangan lari daripada persoalan pokok kerana saya tidak mahu rakyat negeri ini terus ditipu dan dipimpin oleh seorang yang sering sakit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Dewan Pemuda Pas negeri kesal dengan tindakan Ibrahim yang mendesak Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Pada masa yang sama, Ibrahim membidas Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyerangnya kerana menyifatkan pakatan pembangkang membuat satu lagi pembohongan besar apabila berjanji untuk melaksanakan perubahan dalam masa 100 hari selepas mengambil alih pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Orang macam dia memang tidak terkejut kalau melenting. Tengok Kelantan, bukan 100 hari tetapi sudah 20 tahun, masuk angin keluar asap, mana ada pertumbuhan ekonomi, pengangguran terus meningkat, rakyat Kelantan terpaksa berhijrah mencari pekerjaan, prasarana masih teruk, jenayah meningkat dan macam-macam masalah lagi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: