27 Disember 2010

Usah terpengaruh pembangkang

UM - 27/12/10

HULU LANGAT 26 Dis. - Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) mengingatkan kepada bekas tentera agar tidak terpengaruh dengan agenda politik pembangkang yang semakin keterlaluan menjelang pilihan raya umum.

Presidennya, Datuk Mohd. Ali Baharom berkata, antaranya tindakan pembangkang yang mencabar ketuanan Melayu adalah perkara yang sangat keterlaluan dan tidak menghormati perasaan orang Melayu.

"Kita tidak mahu perkara ini merosakkan bangsa Melayu kita sendiri demi memenuhi agenda politik mereka (pembangkang) yang terdesak.

"Sepatutnya mereka kena hargai jasa bekas tentera kerana perjuangan mereka mempertahankan negara adalah sesuatu yang sangat besar demi melihat anak bangsa terbela di tanah air sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Jejak Skot Hati ke Hati dan perasmian PVTM cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di sini hari ini.

Pada majlis itu, PVTM turut menyampaikan sumbangan beras kepada bekas tentera yang hadir manakala ahlinya, Mohd. Sabri Mohd. Said yang kini lumpuh menerima sumbangan kerusi roda.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, kesanggupan PVTM turun padang mendampingi ahli patut dicontohi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, selain itu, di pihak kerajaan pula, kebajikan bekas tentera yang telah menabur banyak jasa untuk negara sememangnya diberi keutamaan.

"Kita jangan mudah termakan dengan janji kosong pihak pembangkang. Lihat saja hari ini, adakah mereka peka dengan kebajikan bekas tentera dan sanggup turun padang?" ujarnya.

Dalam pada itu, isteri penerima kerusi roda, Roslah Shahir, 53, melahirkan rasa terharu dan terima kasih terhadap persatuan itu kerana peka dengan keadaan suaminya yang lumpuh.

"PVTM adalah persatuan yang peka dengan kebajikan ahlinya dan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu kehidupan saya dan suami," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: