27 Disember 2010

Anwar tiada bukti kaitkan 1Malaysia dengan Apco

UM - 27/12/10

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya tiada sebarang bukti mengaitkan penglibatan Apco Worldwide dalam pembentukan gagasan 1Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, oleh itu Anwar terpaksa terus membohongi rakyat berhubung isu tersebut.

"Beliau tiada bukti seperti yang dikatakan, sebab itu selama ini beliau terpaksa menggunakan pendekatan berbohong.

"Pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tentang surat penafian daripada Apco baru-baru ini telah membuka tembelang Anwar yang sebenar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas pendedahan Mohamed Nazri tentang surat daripada Apco yang menafikan firma itu terlibat dalam pembentukan gagasan 1Malaysia.

Mohamed Nazri turut mengemukakan akuan bersumpah penasihat politik yang pernah bertugas dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Barak iaitu Robert M. Shrum yang menafikan penglibatan Apco dengan slogan One Israel seperti didakwa Anwar.

Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, Anwar sebenarnya cuba memesongkan pemikiran dan pandangan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dengan menjadikannya satu ancaman kepada masyarakat.

"Ini kerana beliau tahu bahawa 1Malaysia adalah idea yang asal dan bukan ditiru atau direka oleh orang asing. Atas sebab itu beliau dari awal cuba memastikan rakyat memandang sinis idea itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha Anwar itu menemui kegagalan apabila kerajaan mengemukakan bukti bahawa Apco sebenarnya tidak pernah terlibat dalam pembentukan gagasan 1Malaysia atau One Israel seperti yang didakwanya sebelum ini.

Menurutnya, walaupun gagal Anwar sudah pasti tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya akan terus mencari jalan lain untuk memperlekeh dan memburukkan kerajaan dan gagasan 1Malaysia.

"Pembohongannya sama sahaja. Ketika isu 16 September dulu pun beliau dakwa ada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersedia lompat parti tetapi perkara itu tidak pernah berlaku sebaliknya wakil rakyat pembangkang yang lompat parti.

"Terbaru dia berbohong lagi dengan janji 100 hari untuk rakyat jika berjaya memerintah negara. Ini semua strategi yang sudah terdesak," katanya.

Dalam pada itu Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sandiwara Anwar kini sudah sampai ke kemuncaknya dan merupakan detik-detik terakhir sebelum tamatnya karier politik beliau.

Katanya, Puteri UMNO percaya semakin ramai penyokong Anwar mulai meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak mahu dipimpin oleh pemimpin yang pengecut.

"Sikap berdiam diri disertai pelbagai cubaan Anwar untuk mengelak daripada menunaikan janjinya untuk mendedahkan segala bukti yang dikatakan ada padanya telah menyerlahkan wajah sebenar Anwar yang selama ini berselindung di sebalik topeng keadilan," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: