27 Disember 2010

Larang guna logo 1Malaysia dibeku

BH - 27/12/10

Oleh Azmi Md Deros, Petah Wazzan Iskandar dan Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2010/12/27

Kerajaan Selangor cuba redakan keadaan, bincang pada mesyuarat EXCO

KUALA LUMPUR: Kontroversi berhubung larangan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor cuba diredakan kerajaan negeri dengan membekukan sementara pelaksanaannya dalam kawasan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu, berkata larangan penggunaan logo itu akan dibincangkan pada mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) akan datang.

“Saya sudah meminta MDKL menangguhkan tindakan larangan buat sementara waktu sebelum tindakan lanjut diputuskan kelak,” katanya menerusi pesanan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Berita Harian, semalam.

Rabu lalu, akhbar tempatan melaporkan, kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan sebuah kedai serbaneka, di Kuala Langat sebagai membantah tindakan MDKL mengarahkan logo 1Malaysia yang dipasang di kedai itu diturunkan.

Perhimpunan aman berlangsung selama 10 minit itu turut disertai ahli UMNO dan MIC bahagian Kuala Langat.

Bagaimanapun, pemilik kedai berkenaan, K Thiyagarajan, dilaporkan tidak mengendahkan arahan itu selepas menerima notis daripada MDKL sebaliknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Isnin lalu sebelum menghantar bantahan kepada Yang Dipertua MDKL, Abdul Razak Jaafar untuk mendapatkan penjelasan.

Di ALOR SETAR, kerajaan PAS Kedah tidak bercadang melarang penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan, banting dan kain rentang di negeri itu kerana berpendapat penggunaan logo itu tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata penggunaan logo itu dibenarkan asalkan syarat pemasangan yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dipatuhi.

“Tidak ada cadangan melarang perkara itu (penggunaan logo 1Malaysia) dan tidak ada perbincangan mengenainya dibuat kerajaan negeri setakat ini.

“Bagi kita di Kedah perkara itu tidak menjadi isu kerana kita berpendapat suasana politik di Kedah berbeza dengan Selangor yang menguatkuasa larangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Di GEORGETOWN, Kerajaan Pulau Pinang masih belum memutuskan sama ada untuk mengikut tindakan Kerajaan Selangor melarang penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan, banting dan kain rentang di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy, berkata pihaknya belum membuat keputusan untuk membincangkan larangan penggunaan logo yang bersifat politik kerana ketiadaan keperluan berbuat demikian.

“Kita lihat macam mana nanti, sebab sebarang keputusan perlu dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya yang dihubungi, Berita Harian, di sini, semalam.
Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, larangan itu bukan keputusan pakatan pembangkang tetapi hanya satu pengumuman seorang EXCO Selangor.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: