29 Disember 2010

Hasrat Khalid menghadap tak kesampaian

UM - 29/12/10

SHAH ALAM 28 Dis. - Hasrat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah esok berhubung kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, mungkin terpaksa ditunda kerana baginda sedang bercuti.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang memaklumkan, baginda bercuti sehingga 3 Januari ini.

''Jadi sebarang pertemuan dengan baginda hanya akan berlangsung selepas itu," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Menurut, beliau telah menyembahkan kepada Sultan Sharafuddin mengenai permintaan Abdul Khalid itu untuk menghadap baginda.

''Tetapi surat Menteri Besar (untuk menghadap) itu dihantar lambat. Baginda hanya akan kembali bertugas pada 4 Januari ini.

''Jadi mungkin Abdul Khalid boleh menghadap selepas itu," kata beliau.

Tambahnya, surat mempersembahkan nama tiga calon SUK juga hanya diterima selepas tuanku memberi perkenan atas pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Semalam, sekretariat akhbar Menteri Besar mengeluarkan kenyataan bahawa Abdul Khalid akan menghadap Sultan Sharafuddin berhubung pelantikan Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, esok.

Menurut kenyataan itu, Abdul Khalid akan menyembahkan kepada baginda yang pelantikan Mohammed Khusrin yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu tidak dimaklumkan kepada beliau.

Kenyataan itu turut memberitahu, oleh kerana perkara itu di luar pengetahuan Abdul Khalid maka pelantikan Mohammed Khusrin bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud dianggap belum muktamad.

Jelas kenyataan itu, sebelum ini kerajaan negeri telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dan telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut yang kemudiannya diserahkan kepada Sultan Sharafuddin bagi mendapat perkenan.

Difahamkan, nama Mohammed Khusrin tiada dalam senarai itu dan antara nama yang disebut sebelum ini untuk menggantikan Ramli ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md. Noor.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: