29 Disember 2010

Rombakan kepimpinan negeri bukan petanda pilihan raya

UM - 29/12/10


Adnan Yaakob menyaksikan acara akad penyerahan wang zakat daripada Pengurus Besar Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands Bhd. dan KFC Holdings, Mohd. Roslan Mohd. Saludin kepada Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat Pahang, Halidan Md. Daud (kanan) di Kuantan, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 28 Dis. - Rombakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di tiga negeri semalam bukan petanda bahawa pilihan raya umum semakin hampir.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau yakin bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat walaupun berlaku rombakan pucuk pimpinan parti di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

"Mengapa perlu kecoh mengenai pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di negeri-negeri ini, ia hanya satu proses normal.

"Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) pernah menyatakan perkara ini dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dengan merujuk kepada negeri-negeri yang pengerusinya bukan orang tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Standard Halal Pahang 2010 di sini hari ini.

Seramai 350 peserta yang terdiri daripada usahawan, pengusaha makanan, pengusaha hotel, pembekal perkhidmatan halal, pembekal, jururunding dan kakitangan kerajaan hadir mendengar taklimat mengenai piawaian halal itu.

Beliau mengulas perubahan kepimpinan di tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Januari 2011 yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menegaskan, apa yang paling penting yang perlu diberi perhatian ialah terus bekerja keras bagi membela nasib rakyat dan bukannya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Mengulas perkembangan di Pahang, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah bagi mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan dengan projek perumahan untuk golongan miskin.

"Kita buat ini untuk kebaikan rakyat, kalau kita jalankan projek ini kerana pilihan raya sudah dekat, rakyat tidak akan percaya kepada kita," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: