29 Disember 2010

Politik rasis tidak berjaya di Malaysia

UM - 29/12/10

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Propaganda politik yang menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan daripada rakyat oleh pembangkang sekarang sudah dirancang dengan teliti namun ia tidak akan berkesan di negara ini.

Profesor Ulung, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, pembangkang sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu kerana mereka berduit serta mendapatkan khidmat nasihat pakar strategi dari luar negara.

"Namun kita lihat amalan politik rasis di Malaysia hanya berani disuarakan di tempat-tempat tertentu seperti di Parlimen atau ceramah tertutup kerana pelakunya takut dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya percaya kita tidak mudah terpengaruh dengan permainan politik perkauman kerana memiliki kewarasan yang tinggi dan seterusnya tidak menjejaskan hubungan baik antara semua kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang mahu para pemimpin pembangkang menghentikan segera propaganda politik mereka dengan menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan daripada rakyat.

"Pembangkang hanya berani bercakap di dalam Parlimen kerana mereka tahu memiliki imuniti namun untuk bercakap di luar secara terbuka, ia adalah sesuatu yang mustahil," ujarnya.

Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, politik rasis hanya merupakan permainan politik murahan yang dilakukan oleh pihak yang terdesak untuk menagih sokongan.

"Memang kerja pembangkang untuk menarik perhatian rakyat termasuk menggunakan isu perkauman walaupun tahu tidak akan berhasil bagi mempengaruhi mereka kerana majoritinya cintakan keamanan.

"Saya puji rakyat Malaysia kerana tidak terpengaruh dengan permainan politik murahan seperti itu dan juga keharmonian semua kaum jelas langsung tidak tergugat," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: