29 Disember 2010

MB perlu baca Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor

UM - 29/12/10

SHAH ALAM 28 Dis. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran membaca buku Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebelum menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, Abdul Khalid juga boleh mendapatkan nasihat daripada Pegawai Undang-undang Negeri mengenai perkara itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu, semasa memegang jawatan Menteri Besar, beliau sendiri tidak pernah campur atau mempertikaikan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kerana sedar mengikut perlembagaan negeri perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.

''Mungkin beliau tidak membaca buku Undang-Undang Tubuh Selangor. Mengikut perlembagaan, kuasa eksekutif untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Kewangan negeri adalah di bawah ketua jabatan kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam.

''Cuma tambahan kepada jawatan Setiausaha Kerajaan negeri, mereka perlulah beragama Islam dan berketurunan Melayu.

''Jadi sudah terang pelantikan itu bukan kuasa beliau. Jadi lebih baik Abdul Khalid jangan sibuk," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Abdul Khalid untuk menghadap Sultan Sharafuddin esok kerana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Mohammed Khusrin Munawi yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Hasrat Abdul Khalid itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat akhbarnya semalam.

Tegas Dr. Mohamad Khir, Abdul Khalid tidak perlu menghadap Sultan Selangor semata-mata beliau tidak dimaklumkan tentang pelantikan Mohammed Khusrin itu.

Katanya, langkah Abdul Khalid untuk mempersembahkan tiga nama yang sebelum ini dicadangkan kerajaan negeri kepada baginda juga akan menyebabkan implikasi lain kepada individu yang berkenaan.

''Beliau perlu memikirkan masa depan tiga pegawai kerajaan negeri terlibat. Jangan jadikan mereka sebagai mangsa politik," kata beliau.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: