30 Disember 2010

Mohd. Isa yakin peneroka tetap sokong Barisan Nasional

UM - 30/12/10


MOHD. Isa Abdul Samad menyampaikan baju korporat UMNO Bahagian Bakri kepada ketuanya, Saipol Bahari Suib pada Majlis Penyampaian Beg dan Pakaian Seragam Sekolah Murid-Murid Tahun 1 dan Pra Sekolah di Tanjung Agas, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 29 Dis. - Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang akan mula memegang jawatan Pengerusi Felda mulai 1 Januari ini yakin masyarakat Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 30 Januari depan.

Katanya, walaupun pelbagai usaha akan dilakukan oleh parti pembangkang bagi meraih sokongan, beliau yakin kerusi tersebut akan berjaya dipertahankan oleh BN.

Menurutnya, dengan segala usaha pembangunan yang telah digerakkan selama ini, beliau percaya penduduk di tiga kawasan rancangan iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.

"Bagi saya, masyarakat Felda sudah cukup masak mengenai pembangkang, saya yakin warga Felda akan memberi sokongan dan saya berharap majoriti juga akan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Beg dan Pakaian Seragam Sekolah Murid-Murid Tahun 1 & Pra Sekolah peringkat Parlimen Bakri di Bazar Baitulmal K-Mall, Tanjung Agas di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 500 kanak-kanak itu ialah Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahari Suib serta Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh.

Jelas Mohd. Isa, beliau percaya generasi muda Felda akan turut memberi sokongan kepada kerajaan kerana mereka sedar mengenai pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan untuk memajukan masyarakat Felda.

Sementara itu, Mohd. Isa berkata, UMNO sentiasa memberi penekanan dalam bidang pelajaran supaya anak bangsa dapat menjadi lebih bijak dan maju.

"Dari segi sejarah, kerajaan tidak pernah mengabaikan soal pelajaran, malah dalam setiap kali bajet, peruntukan yang besar adalah dalam bidang pelajaran.

"Rakyat di negara ini sepatutnya bersyukur kerana dasar pelajaran sentiasa diberikan penekanan dan sebenarnya, sebelum merdeka lagi, kerajaan sudah fikirkan mengenai soal pelajaran dengan Laporan Razak dibentangkan pada 1956," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: