28 Disember 2010

Pelantikan Khusrin tidak dimaklumkan kepada MB

UM - 28/12/10

SHAH ALAM 27 Dis. - Walaupun telah dinyatakan bahawa pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menganggap keputusan itu sebenarnya belum muktamad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar, cadangan itu belum muktamad kerana pelantikan Mohammed Khusrin yang kini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak pernah dimaklumkan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu menurut kenyataan tersebut, Abdul Khalid telah mempersembahkan surat kepada Sultan Sharafuddin untuk memaklumkan yang beliau tidak dihubungi bagi diberitahu tentang cadangan tersebut.

''Sebelum ini kerajaan negeri telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan. Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

''Abdul Khalid kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada Sultan Sharafuddin untuk mendapat perkenan," kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai reaksi terhadap pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru berkuatkuasa 1 Januari ini yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan hari ini.

Mohammed Khusrin, 54, dilantik bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut juga memberitahu, Abdul Khalid akan menghadap Sultan Sharafuddin pada Rabu ini berhubung perkara itu.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: