28 Disember 2010

Pembangkang diminta hentikan segera politik rasis

UM - 28/12/10

SEREMBAN 27 Dis. - Para pemimpin pembangkang diminta menghentikan segera propaganda politik mereka yang menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan daripada rakyat.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, tindak tanduk mereka itu yang dilihat semakin terdesak, disifatkannya sebagai tidak sihat dan hanya menjurus kepada kebencian antara kaum.

''Saya harap orang ramai jangan termakan dengan propaganda pembangkang apatah lagi sekarang ini mereka juga takut dengan gagasan 1Malaysia sehinggakan kerajaan Selangor boleh mengharamkannya.

''Saya harap mereka dapat menghentikan politik seperti ini. Jangan jumpa kaum Cina cakap UMNO rasis, jumpa kaum lain beritahu kononnya BN semakin terdesak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Peralatan Sekolah anjuran Badan Perhubungan MIC negeri dengan kerjasama MIC Bahagian Rembau di Wisma MIC di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIC negeri Datuk VS Mogan serta Pengurus Perhubungan Awam Korporat Tesco Stores (M) Sdn. Bhd., Dazrene Azmil Darus.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, gerak geri pembangkang dalam meraih sokongan juga terserlah apabila pembangkang sehingga kini masih gagal mencari jawapan mengenai pembohongan tentang 1Malaysia.

Beliau pada masa yang sama turut membidas tindakan pembangkang yang bertindak mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor sedangkan mereka seolah- olah dilihat sebagai 'juara' kepada kebebasan demokrasi.

Ditanya mengenai persiapan jentera Pemuda BN menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini, katanya, gerak kerja kini telah disusun bagi menghampiri pengundi muda di kawasan berkenaan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: