28 Disember 2010

Tidak perlu dapatkan persetujuan Abdul Khalid

UM - 28/12/10

SHAH ALAM 27 Dis. - Pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tidak perlu mendapat persetujuan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah memang telah memberi perkenan atas pelantikan tersebut dan mengikut Perlembagaan negeri, baginda mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan itu.

Beliau berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor juga menyatakan, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa jawatan lain perlu diwujudkan dan pelantikannya akan dibuat oleh suruhanjaya yang berkenaan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

''Kalau Ketua Setiausaha Negara (KSN) mahu melantik individu itu, beliau akan mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu.

''Selepas Tuanku memberi perkenan pelantikan boleh dilakukan dan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tidak perlu melalui Menteri Besar," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar hari ini yang memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataaan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Janurai ini oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Bagaimanapun kata Mohamad Munir, beliau telah menulis surat tentang persetujuan Sultan Sharafuddin mengenai pelantikan Mohammed Khusrin dan satu salinan telah dihantar kepada Menteri Besar untuk tujuan pemberitahuan.

''Saya percaya setiausaha sulit beliau telah menerimanya tetapi mungkin Abdul Khalid belum mendapat surat itu kerana beliau sedang bercuti," katanya.

Sementara itu, Mohammed Khusrin ketika dihubungi memberitahu, beliau masih belum mendapat surat rasmi mengenai pelantikannya.

''Saya belum dapat surat rasmi jadi saya tidak mahu komen apa-apa," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: