24 Januari 2011

Azahar semakin popular, disenangi

UM - 24/1/11

LABIS 23 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim semakin dekat di hati penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang apabila mendapat sambutan bagaikan seorang selebriti setiap kali bertandang di kawasan yang dilawatinya.

Mohd. Azahar memulakan kempen pada hari keduanya untuk bertemu dengan semua golongan masyarakat di Tenang dengan berjumpa dengan peniaga di Pasar Awam Labis seawal pukul 9 pagi sebelum meneruskan lawatan di tempat lain.

Meskipun hujan seketika pada waktu petang namun ia tidak sesekali mematahkan semangat calon BN tersebut untuk terus bertandang ke kawasan kempen yang telah dirancangnya sehingga lewat malam.

Bukan itu sahaja, isteri Mohd. Azahar, Tuty Roshizana Tumin tetap setia menemani ke mana sahaja suaminya berkempen.

Antara kawasan yang dilawatinya adalah bilik gerakan BN di Chempelak, Chempelak 2, Chempelak Barat, dan mengadakan tinjauan mesra di Taman Okid Baru, Taman Paya Merah, Kampung Sawah Padi dan beberapa kawasan lain.

Bagaimanapun, penat lelah beliau berbaloi memandangkan penerimaan sangat baik daripada penduduk selain diberi tepukan gemuruh setiap kali membuat ucapan di hadapan umum.

Menurut Mohd. Azahar, setakat ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan hampir 50 peratus penduduk Tenang dan rata-rata penduduk memberi maklum balas yang positif atas pertemuan tersebut.

"Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai amat baik dan saya dapat berjumpa dengan semua penduduk daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

"Saya sendiri akan pastikan semua kawasan di DUN Tenang ini dilawati agar dapat berjumpa sendiri dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang warga emas, Intan Ahmad, 63, di Kampung Paya Merah dekat sini hari ini.

Mohd. Azahar berkata, beliau bukan sahaja mengadakan lawatan semata-mata tetapi turut mendampingi dan menyelami permasalahan rakyat agar setiap masalah yang diketengahkan dapat ditangani dengan segera.

Katanya, beliau tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan tertentu sahaja tetapi turut mendampingi semua golongan termasuk golongan muda.

"Kebanyakan penduduk yang ditemui sudah ramai yang mengenali saya sebelum ini. Justeru itu tiada masalah apabila saya berjumpa dengan mereka kali ini," katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri warga emas, Saad Hassan, 79, dan Lamah Ahmad, 72, teruja apabila calon berkenaan sudi bertandang ke rumahnya di Taman Bandar Jaya dekat sini.

Meskipun pasangan tersebut sedang menghabiskan masa berehat di atas kerusi roda namun kunjungan Mohd. Azahar tetap disambut dengan tangan terbuka.

"Memang saya nak jumpa sendiri dengan Mohd. Azahar tetapi apakan daya saya uzur. Tetapi rezeki saya tetap ada kerana dia sudi datang ke rumah kami," kata Lamah.

Bagi Aslan Yaacob, 27, peribadi calon berkenaan yang 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan penduduk dan tidak terlalu formal ketika berjumpa dengan masyarakat amat disenangi.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: